Sunday, October 12, 2008

Gerakan: Calon tunggal Melayu tewas - MALAYSIAKINI

Oct 11, 08 7:59pm

Dr Arsharuddin Ahmad, calon Melayu pertama bertanding jawatan tinggi peringkat kebangsaan dalam sejarah Gerakan, tidak kisah dengan kekalahannya dalam perebutan bagi jawatan naib presiden hari ini.

gerakan ndc 111008 arsharuddin 04.jpgKetua Pegawai Operasi berumur 49 tahun di sebuah kolej antarabangsa swasta itu berkata beliau percaya masih ada ruang dan tanggungjawab besar menanti beliau dalam Gerakan.

Arsharuddin adalah satu-satunya calon Melayu dalam senarai calon Gerakan yang bertanding bagi merebut jawatan timbalan dan naib presiden dan 18 kerusi jawatankuasa pusat dalam pemilihan parti.

"Saya masih baru. Walaupun saya kalah, ia pengalaman yang baik untuk diri saya," katanya kepada pemberita selepas keputusan pemilihan diumumkan di ibu pejabat parti di ibunegara, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya beliau tidak akan melepaskan cita-cita politiknya dan bersedia menerima sebarang jawatan yang mungkin ditawarkan parti.

Perlembagaan Gerakan membenarkan presiden melantik lima orang ke jawatankuasa pusat yang mempunyai 18 anggota yang dipilih.

Menurut sumber parti, Arsharuddin mungkin dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat oleh presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

"Jika mereka mahu berikan jawatan jawatankuasa pusat, terpulanglah kepada mereka," kata Arsharuddin.

Dalam pemilihan itu, Arsharuddin menduduki tempat keempat dan gagal menjadi seorang daripada tiga naib presiden dengan perbezaan hanya 31 undi.

Muka baru


Pemenangnya ialah Datuk Mah Siew Keong yang memperoleh 1,153 undi, Datuk Dr S Vijayaratnam (678 undi) dan Huan Cheng Guan (568 undi).

Arsharuddin berkata keyakinannya terhadap parti pelbagai kaum itu tidak luntur kerana kekalahannya hanya dengan jumlah undi yang kecil.

"Ia memerlukan masa. Apa juga dalam kehidupan kita akan mengambil masa kerana kita mempunyai keupayaan untuk menarik orang, menarik rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk menyertai kita," katanya.

Sementara itu, Dr Koh berkata beliau kagum dengan Arsharuddin yang berjaya memperoleh undi yang banyak berbanding calon lain yang lebih senior walaupun beliau merupakan muka baru dan tidak memegang sebarang jawatan di peringkat negeri atau kebangsaan.

"Dr Arsharuddin menerima undi keempat tertinggi bagi jawatan naib presiden dan mendahului tiga bekas anggota jawatankuasa pusat dan ia merupakan satu petanda positif yang perwakilan mahukan pembaharuan," katanya.

Timbalan Presiden Gerakan yang baru Datuk Chang Ko Youn berkata beliau secara peribadi akan mengesyorkan Arsharuddin ke jawatankuasa pusat dan yakin yang Arsharuddin akan memainkan peranan efektif dalam parti.

"Mereka yang gagal, saya pasti akan bangkit semula dan bagi tiga tahun akan datang, mereka boleh turun padang dan bergaul dengan akar umbi untuk memperkenalkan diri mereka bagi membolehkan mereka dipilih pada pemilihan akan datang," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...