Sunday, October 12, 2008

Umno Perak Sokong Najib Untuk Presiden, Calon Jawatan Timbalan Terserah Kepada Bahagian - BERNAMA

12 Oktober, 2008 00:53 AM

IPOH, 12 Okt (Bernama) -- Umno negeri Perak sepakat memberi sokongan padu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dicalonkan ke jawatan presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan, kata pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Beliau berkata bagaimanapun bagi jawatan Timbalan Presiden, badan perhubungan Umno negeri yang mengadakan mesyuarat khas malam ini menyerahkannya kepada kebijaksanaan 24 bahagian Umno negeri untuk membuat keputusan memilih siapa yang menjadi pilihan mereka.

Bagi calon jawatan Naib Presiden pula, Umno Perak akan memberi sokongan padu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon.

"Bagi dua lagi jawatan naib presiden, Umno Perak menyerahkannya kepada budi bicara bahagian Umno negeri untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini Sabtu malam.

Beliau berkata bagi jawatan majlis tertinggi, Umno Perak akan memberi sokongan kepada tujuh pemimpin negeri yang terdiri daripada penyandang Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin (Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat), Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Ketua Umno Tambun).

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Ketua Umno Pasir Salak), pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd Senator Datuk Azian Osman (Ketua Umno Ipoh Timur), Datuk Dr Zambry Abdul Kadir (Ketua Umno Lumut) dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Ketua Umno Larut).

Beliau berkata Umno Perak juga merestui tindakan Ketua Puteri Umno Perak Dr Wan Norashikin Wan Noordin untuk bertanding jawatan Ketua Puteri.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...