Saturday, October 18, 2008

Pencalonan Mukhriz 42, Khairy 23, Mohd Khir 14 - BERNAMA

18 Oktober, 2008 01:06 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Persaingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno terus sengit apabila Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin mendapat satu lagi pencalonan Jumaat malam melalui Pemuda Umno Bahagian Putatan menjadikan jumlah yang beliau terima meningkat kepada 23.

Terdahulu, Khairy menerima pencalonan daripada Bahagian Rantau Panjang.

Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kekal mendahului dengan 42 pencalonan setakat ini, setelah mendapat satu lagi pencalonan daripada Pemuda Umno Bahagian Pendang hari Jumaat.

Pemuda Umno Putatan turut mencalonkan Ketua Pemuda Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Raz Ha Chuprat bagi jawatan Naib Ketua pergerakan itu.

Sehingga berita ini ditulis, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bukit Katil masih lagi bermesyuarat.

Mesyuarat Puteri Umno Bahagian Marang dan Putatan hari Jumaat mencalonkan Ketua Penerangan Puteri Umno Datuk Shahaniza Shamsuddin untuk jawatan Ketua Puteri menjadikan jumlah pencalonan beliau meningkat kepada 36.

Pesaing terdekatnya, Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari Jumaat mendapat pencalonan daripada Puteri Bahagian Kemaman, menerima 30 pencalonan setakat ini.

Sementara itu, Puteri Umno Bahagian Bukit Katil pula mencalonkan Bibi Sharliza Mohd Khalid sebagai Ketua Puteri Umno menjadikan tujuh pencalonan untuknya dan Bahagian Putatan mencalonkan Ketua Puteri Kedah, Sahanim Md Yusuf.

Bagi jawatan Naib Ketua, Puteri Umno Marang mencalonkan Senator Nordiana Shafie, yang juga Ketua Puteri Terengganu, manakala Bukit Katil mencalonkan Shahaniza.

Sementara itu, penyandang Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menambah enam lagi pencalonan bagi mempertahankan jawatan masing-masing.

Rafidah dan Shahrizat menerima pencalonan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua daripada Wanita Umno Bahagian Alor Star, Kuala Terengganu, Kubang Kerian, Bukit Katil, Merbok dan Tanjong Piai bagi menjadikan keseluruhan 58 pencalonan.

Shahrizat bagaimanapun masih menerima dua lagi pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita Umno daripada bahagian Jerlun dan Kemaman.

Wanita Umno Bahagian Jerlun dan Kemaman turut mencalonkan Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno dan menjadikan keseluruhan sembilan pencalonan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said turut dicalonkan sebagai Naib Ketua dengan empat pencalonan manakala Ketua Wanita Johor Datuk Halimah Mohamed Sadique menerima dua pencalonan setakat ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...