Tuesday, October 14, 2008

Zulkifli Nafi Akan Sertai Umno - BERNAMA

14 Oktober, 2008 17:33 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin menafikan akan menyertai Umno ekoran keputusan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyen membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang memberi kemenangan kepada Zulkifli.

"Tidak timbul soal itu. Saya masih bersama PKR, dan duduk di kerusi PKR ketika dalam Parlimen.

"Saya sentiasa berhubung dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi tidak timbul masalah cuma ada sedikit 'hiccup' atas perjuangan saya dengan Islam tetapi tidak timbul soal saya untuk melompat parti," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Zulkifli juga berkata setakat ini beliau belum mendapat sebarang tawaran untuk menyertai Umno.

Menyentuh sama ada sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadapnya oleh PKR berhubung tindakannya membantah Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lepas, Zulkifli berkata beliau sudah dipanggil untuk menjelaskan tindakannya kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu.

"Saya telah beri penjelasan tentang pendirian saya bahawa saya utamakan perjuangan Islam, kalau PKR menyediakan platform perjuangan Islam saya tidak ada masalah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...