Monday, June 9, 2008

Shahidan enggan tunduk pada tekanan

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tidak sekali-kali akan tunduk pada tekanan pihak tertentu yang mahu beliau mengosongkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.

Beliau mendakwa mendapat sokongan penuh daripada Pergerakan Pemuda Umno dan Wanita Umno negeri serta dua lagi bahagian lain di Perlis iaitu di Kangar dan Padang Besar.

“Mengapa pula saya perlu letak jawatan? Pemuda dan Wanita negeri sokong saya. Kangar dan Padang Besar juga sokong saya terus pegang, jadi mengapa ada orang suruh saya letak jawatan?

“Siapa dia hendak suruh saya letak jawatan?” katanya kepada mStar Online ketika diminta mengulas gesaan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu, Ameir Hassan agar beliau mengosongkan jawatan itu agar boleh diambil alih oleh menteri besar yang baru..

Ameir minggu lalu berkata, Shahidan sepatutnya tidak menentang tradisi Umno iaitu sesiapa yang menjadi Menteri Besar patut menyandang jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negari dan Pengerusi Barisan Nasional negeri.

Ini, katanya, bagi memudahkan pentadbiran kerajaan yang perlu berkait rapat dengan parti-parti politik dari kerajaan yang memerintah.

Shahidan bagaimanapun mempertikai kedudukan Md Isa yang tidak mengetuai mana-mana bahagian Umno di negeri itu sedangkan mengikut tradisi, jawatan itu hanya disandang oleh seorang ketua bahagian.

Shahidan adalah ketua Umno Bahagian Arau.

Gesaan Amier itu dilihat mungkin sebagai pembuka jalan baginya untuk bertanding menentang Shahidan pada pemilihan Umno bahagian Oktober depan.

Amier, seorang peguam, baru-baru ini telah pun menyatakan hasrat beliau untuk bertanding merebut jawatan yang disandang Shahidan itu.

Beliau juga adalan Naib Ketua Umno bahagian itu antara 1993 dan 1996.

http://www.mstar.com.my

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...