Monday, June 9, 2008

‘Sedia dicabar Yunus’

KUALA KLAWANG 8 Jun – Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, beliau sedia dicabar oleh Timbalannya, Datuk Yunus Rahmat bagi jawatan tersebut pada pemilihan bahagian akan datang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, ini kerana pencabarnya itu sememangnya mempunyai hak untuk bertanding tetapi caranya perlulah berlandaskan kepada prinsip moral.

Menurutnya, semua pihak sepatutnya membiarkan pertandingan berlangsung tanpa sebarang provokasi atau dengan cara memburuk-burukkan sesama sendiri.

Katanya, ia selaras dengan hasrat semua pihak dalam parti yang tidak mahu sebarang pertandingan membawa kepada perpecahan parti.

‘‘Saya yakin ahli-ahli UMNO kini matang dalam membuat keputusan untuk memilih sesiapa sahaja sebagai pemimpin mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesihatan di Dewan Majlis Daerah Jelebu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasrat Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu pada pemilihan akan datang.

Rais berkata, beliau akan mematuhi suara orang ramai dan menurutnya kesibukan beliau sebagai Menteri Luar menyebabkan beliau tidak berkesempatan untuk berkempen.

Sementara itu, beliau yang turut menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO berkata, UMNO perlu berani melakukan perubahan drastik termasuk memansuhkan sistem kuota pencalonan.

“Pada masa ini, saya melihat sistem ini tidak akan dihapuskan kerana setakat ini hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya yang menyuarakan perkara berkenaan,’’ katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan kuasa yang selama ini ditunjangi UMNO akan luntur berdasarkan cara mentadbir yang lebih profesional di lima negeri dikuasai pembangkang.

“UMNO boleh mengharungi masa depan yang lebih meyakinkan namun sekiranya parti masih di takuk lama, saya khuatir kuasa yang sedia ada di tangan kita semakin luntur,’’ katanya.

UTUSAN ONLINE

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...