Monday, June 9, 2008

‘Saya mungkin ditentang’

JOHOR BAHRU 8 Jun – Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak menolak kemungkinan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi akan dicabar pada pemilihan peringkat bahagian Ogos ini.

Syed Hamid yang mengakui tentang desas-desus tersebut berkata, beliau turut mendengar terdapat beberapa pemimpin bahagian juga menyokong calon yang bakal menentangnya pada pertandingan itu nanti.

“Itu biasa dalam dunia politik dan orang boleh fikir macam-macam.

“Pada saya yang penting, keputusan terpulang kepada ahli dan cawangan dan pada waktu ini mesyuarat belum bermula maka terlalu awal untuk menjangka perkara itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Beliau ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi akan dicabar oleh bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Daeng Malik, 52, pada pemilihan akan datang.

Pemilihan peringkat cawangan akan bermula pada 17 Julai ini manakala peringkat bahagian pada bulan Ogos.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi yang disandang Syed Hamid pernah dicabar oleh bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, Roslaili Ali pada pemilihan tahun 2004 yang menyaksikan Syed Hamid menang dengan hanya 31 undi.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, beliau mahu mengambil sikap tunggu dan lihat dalam hal tersebut kerana tarikh pemilihan masih jauh dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

“Perkara ini tidak perlu heboh-heboh kerana apabila tiba masanya, barulah kita tahu yang sebenarnya,” ujar beliau.

Ditanya kemungkinan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Asiah Md. Arif turut berpihak kepada Daeng, Syed Hamid berkata: ‘‘Terpulang kepada mereka kerana ia adalah hak mereka sebab kedua-duanya pun kuat juga.”

Namun bagi beliau, apa yang penting ialah UMNO di peringkat bahagian atau cawangan perlu diperkukuhkan lagi untuk membela orang Melayu.

“Persoalan kalau-kalau...saya rasa ini tidak perlu diulas lanjut pada waktu ini,” katanya.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...