Friday, April 2, 2010

Chew tetap bertahan meskipun di hujung tanduk

Di sebalik asakan menuntut beliau mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan Ketua Wanita MCA sekiranya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi pemilihan presiden parti itu, Datin Paduka Chew Mei Fun enggan berbuat demikian.

"Saya telah menyatakan selepas keputusan pemilihan diumumkan bahawa 'pendirian saya tidak berubah'. Saya telah nyatakan pendirian saya itu dengan jelas.

"Mengen
ai bila dan di mana saya patut mengumumkan keputusan saya, saya berpandangan bahawa saya tidak perlu mengikut jadual sesiapa," katanya dalam satu kenyataan.

Chew pada pemilihan parti itu Ahad lalu adalah penyokong kuat bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Sejak kebelakangan ini, penentangnya mula menghambur pelbagai sms, panggilan telefon dan email supaya memaksanya melepaskan jawatannya.

Terbaru, sekumpulan penentangnya menggunakan Facebook bagi membuat tuntutan berkenaan.

Kumpulan itu yang mempunyai lebih 2000 peminat memaparkan gambar kartun Ketua Wanita itu memakai apron sambil memegang sepinggan 'Meehon' dengan kata-kata “Bantu Chew untuk menggoreng dirinya”.

Kata-ka
ta sindiran itu dalam bahasa Cina mempunyai sebutan yang sama dengan nama Chew.

Chew sekembalinya dari tugasan rasmi di Bangkok sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan pendirian yang dibuatnya sebelum keputusan pemilihan parti Ahad lalu tidak berubah.

Katanya, beliau akan membuat satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat pertama jawatankuasa pusat sayap pada Khamis ini.

Ketua Wanita itu dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata walaupun keputusan yang akan diumum beliau bukan perkara besar, beliau masih perlu memastikan langkah-langkah yang sepatutnya telah diambil.

"Sebagai Ketua Wanita saya memikul banyak sokongan dan harapan. Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan saya dan kami berkongsi matlamat yang sama.

“Justeru saya berasa perlu untuk memberikan mereka ruang bagi meluahkan pandangan sebelum saya mengumumkan keputusan saya," katanya.

"Saya tidak akan mengelak. Saya akan bertemu dengan banyak pihak yang telah meminta untuk berjumpa dengan saya. Sebaik sahaja mereka telah menyatakan pandangan mereka, saya akan jelaskan kepada mereka mengenai keputusan yang telah saya buat dan pendirian saya," katanya.

Chew berkata beliau juga telah menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan panggilan telefon memujuknya agar kekal dengan jawatan itu.

"Saya berharap apabila saya membuat kenyataan selaras dengan hasrat awal saya, hanya gelombang kecil akan tercetus dan pada masa yang sama tidak menyebabkan perpecahan dalam parti," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...