Friday, April 2, 2010

Umno hantar memo pada PM tuntut kerusi

Umno bahagian Hulu Selangor telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendesak supaya kerusi parlimen kawasan itu dikembalikan kepada Umno.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN pada 30 Mac lalu.

Ia diserahkan oleh naib ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Adnan Buyong.

Ketika dihubungi, Adnan mengesahkan perkara itu dan berkata beliau telah menyerahkan memorandum melalui seorang pegawai perdana menteri.

Katanya, ia merupakan memorandum bersama dari 54 pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung persekutuan (JKKP) di Hulu Selangor, yang antaranya ketua Umno cawangan.

"Dalam memorandum itu, kita menyuarakan tentang sejarah kerusi tersebut, perasaan dan harapan (akar umbi) supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno," katanya.

Penghantaran memorandum tersebut dilihat sebagai langkah serius dan bersungguh-sungguh Umno bahagian untuk mendapatkan kembali kerusi tersebut yang kini ditandingi oleh calon MIC.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.

Zainal Abidin memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon BN dari MIC, Datuk G Palanivel.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.

Sementara itu, ketua Umno cawangan Seri Keledang Mokhtar Hassan berkata Adnan juga telah mengadakan pertemuan selama dua jam dengan 50 pengerusi JKKP di Hulu Selangor. Empat pengerusi JKKP tidak hadir dalam pertemuan di Bukit Beruntung itu.

"Dalam memorandum tersebut kami meminta agar Datuk Seri Najib (Tun Razak) meletakkan calon Umno di situ. Kesemua pengerusi JKKP telah menandatangani memorandum tersebut," katanya dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada memorandum tersebut mencadangkan calon tertentu dipilih bertanding dalam pilihan raya tersebut, Mokhtar berkata, mereka tidak menyatakannya.

Sebaliknya Mokhtar berkata mereka berbisik sesama mereka mengenai calon yang sesuai, antaranya bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib; ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar dan setiausaha Umno bahagian, Nazri Dahlan.

Dalam perkembangan berkaitan tinjauan Malaysiakini semalam di Hulu Selangor mendapati terdapat kain rentang yang menyokong agar Muhammad yang juga bekas menteri kabinet, dicalonkan bertanding di parlimen tersebut.

Kain rentang itu dinaikkan di persimpangan jalan masuk ke Kampung Sungai Buaya dalam DUN Batang Kali.

Menurut seorang peniaga di situ, beliau tidak mengetahui pihak mana yang menggantung kain rentang tersebut dan hanya menyedarinya tengahari semalam.

Kain rentang yang sama juga turut ditemui digantung di jalan utama Kuala Kubu Bharu menuju ke Rawang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...