Wednesday, January 26, 2011

Rombakan kecil UMNO Terengganu

KUALA TERENGGANU 26 Jan. — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu kawasan Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman, dilantik Ketua Penerangan UMNO Terengganu manakala ADUN kawasan Rantau Abang, Datuk Zaaba Mohd. Adib dilantik Bendahari dalam satu rombakan Badan Perhubungan UMNO Negeri itu.

Ahmad Razif menggantikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek manakala Zaaba mengambil alih daripada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Rahin Mohd Said.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan pula dilantik memegang jawatan baru sebagai Pengarah Strategi UMNO Terengganu, selain sebagai anggota Jawatankuasa Pengurusan Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pelantikan-pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Terengganu di sini malam tadi.

Ahmad juga mengumumkan bahawa Ketua UMNO Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dikekalkan sebagai Setiausaha manakala Ketua UMNO Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad selaku Timbalan Badan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terenggganu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO Negeri. — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...