Saturday, February 26, 2011

Hanya BN dan Pas beli borang pencalonan PRK Kerdau

TEMERLOH 25 Feb. - Kurang 24 jam lagi sebelum proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, hanya dua parti sahaja yang membeli borang pencalonan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) dan Pas sahaja yang membeli borang itu untuk dikemukakan esok.

"Hanya dua pihak sahaja yang sudah membeli borang. SPR menjangkakan ada pertandingan satu lawan satu di DUN Kerdau ini pada 6 Mac ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu itu, Wan Ahmad menghabiskan masa kira-kira satu jam meninjau persiapan terakhir Pusat Penamaan Calon di Dewan Tun Razak Majlis Perbandaran Temerloh di sini.

Esok, pusat penamaan calon akan dibuka pukul 9 pagi untuk penyerahan borang selama satu jam sebelum ditutup pada pukul 10 pagi.

Tempoh bantahan dibuka sehingga pukul 11 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman, mengumumkan nama calon yang sah bertanding.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN, pada 12 Feb lepas, akibat serangan jantung. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...