Sunday, February 13, 2011

Kerdau: BN cari pengganti yang sesuai, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN akan mencari pengganti yang sesuai untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau.

Beliau berkata mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil DUN Kerdau perlu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

"Masa depan tempat ini akan terus dimajukan, kami akan cari pengganti untuk teruskan perjuangan Allahyarham," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Zaharuddin di Temerloh hari ini.

Perdana Menteri turut menunaikan solat sunat jenazah di rumah Allahyarham di Kerdau.

Allahyarham dilaporkan terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di kediamannya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) pada 7.15 petang semalam.

Sebelum ini, Zaharuddin pernah dua kali dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengalami komplikasi buah pinggang dan jantung serta tekanan darah tidak stabil pada Mei dan November tahun lepas.

Zaharuddin juga pernah menerima rawatan lebih dua bulan di Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HOSHAS pada Mei tahun lepas.

Perdana Menteri berkata tarikh pilihan raya kecil DUN itu akan ditentukan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita akan hadapi pilihan raya itu secara terbuka dan kita akan mencari calon yang sesuai untuk memberikan khidmat yang berkesan di kawasan ini,"
katanya.

Dalam perkembangan sama, perdana menteri berkata beliau secara peribadi menyifatkan kematian Zaharuddin sebagai satu kehilangan besar bagi dirinya.

"Allahyarham merupakan sahabat saya selama 30 tahun, beliau amat rapat dengan saya, secara peribadi saya kehilangan sahabat yang akrab," katanya.

Najib berkata, Allahyarham banyak membantunya ketika beliau (Najib) menjadi Menteri Besar Pahang dari segi pemikiran, idea, dan bertukar-tukar pandangan dalam membangunkan negeri Pahang.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi jurulatih Biro Tata Negara, penolong pegawai daerah di Bentong, sebelum dipilih menjadi wakil rakyat kawasan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.

Dalam pilihan raya umum itu, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. 

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.


Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Allahyarham adalah, bagi beliau, kehilangan besar seorang rakan peribadi setia. 

Adnan berkata beliau sudah mengenali Zaharuddin selama 40 tahun. 

"Saya kehilangan seorang rakan yang baik dan setia, semoga Allah merahmati rohnya," kata beliau dalam satu kenyataan di Kuantan hari ini. 

Adnan mengucapkan takziah kepada keluarga Zaharuddin. 

"Buat ketika ini, sebagai menghormati Allahyarham, saya tidak berhasrat mengulas mengenai pilihan raya kecil yang bakal diadakan berikutan kematiannya," kata Adnan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Zaharuddin.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negeri Pahang khususnya di DUN Kerdau. Saya yakin pemergian beliau bukan sahaja dialami oleh kaum keluarga beliau malah juga turut dirasai oleh para penduduk," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dan isteri berharap anggota keluarga Allahyarham akan bersabar menghadapi kehilangan insan tersayang. 

"Doa kami semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...