Saturday, March 12, 2011

100 rakyat Malaysia di kawasan gempa bumi selamat

KUALA LUMPUR 11 Mac – Seratus rakyat Malaysia yang berada di wilayah Miyagi, Iwate dan Aomori, iaitu tiga wilayah yang teruk dilanda gempa bumi di Tokyo disahkan selamat, demikian menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Ahmad Rozian Abdul Ghani.

"Pihak kedutaan telah menghubungi rakyat Malaysia di sini (Jepun) dan sahkan mereka selamat. Tidak semua dapat kita hubungi kerana ada antara mereka pulang bercuti ke Malaysia atau wilayah berhampiran ekoran cuti semester ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 67 orang adalah pelajar, 43 di universiti di Miyagi, 18 di Iwate dan enam di Aomori.

Pelajar dan rakyat Malaysia juga telah sedia maklum langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan seperti hadir ke pusat-pusat evakuasi yang disediakan pihak kerajaan tempatan seperti yang sentiasa dimaklumkan kepada mereka sebelum ini, katanya.

Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) berkata, gempa kuat itu telah menyebabkan beratus-ratus ribu pengguna komuter terkandas di stesen kereta api bawah tanah berikutan perkhidmatan itu ditangguhkan.

Restoran berhampiran stesen kereta api sesak dengan kebanjiran penumpang kereta api yang mendapatkan perlindungan daripada cuaca sejuk, katanya.
"Orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam selepas talian telefon bimbit mengalami kesesakan,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama hari ini. – Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...