Saturday, March 12, 2011

Pulau boleh ditenggelamkan

GENEVA 11 Mac - Tsunami besar yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di Jepun hari ini mencecah paras yang boleh menenggelamkan sesetengah pulau di kawasan Pasifik.

Negara membangun menghadapi risiko lebih besar daripada tsunami itu berbanding Jepun, meskipun kebanyakannya telah memantapkan sistem amaran awal dan pelan pemindahan sejak tsunami 2004, menurut Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) hari ini.

"Paling membimbangkan kami ialah rantau Asia Pasifik, di mana negara membangun jauh lebih terdedah kepada bencana seumpama ini dan tsunami itu menimbulkan ancaman besar.

"Buat masa ini parasnya lebih tinggi daripada sesetengah pulau dan pulau itu boleh tenggelam, satu senario yang tidak mahu dilihat oleh sesiapa pun," kata jurucakap IFRC, Paul Conneally di Geneva hari ini.

IFRC menggunakan sistem amaran awalnya di negara-negara Asia Pasifik hari ini dalam usaha untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat selepas amaran tsunami dikeluarkan.

"Masih ada masa tetapi tidak banyak dan laporan disebarkan. Perkara utama ialah keselamatan," kata jurucakap IFRC dari habnya di Kuala Lumpur, Patrick Fuller menerusi telefon.

Lebih 226,000 penduduk di 11 negara Asia terkorban dalam tsunami 2004.
Gempa bumi terbesar yang melanda Jepun dalam tempoh 140 tahun menggegarkan pantai timur lautnya hari ini, mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.

Semua Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah kebangsaan di rantau ini termasuk di Filipina, Papua New Guinea dan Pulau-Pulau Pasifik dikerahkan untuk membantu penduduk masing-masing, menurut IFRC, rangkaian bantuan bencana terbesar di dunia. - Reuters/dpa

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...