Saturday, March 19, 2011

DUN Sarawak bubar Isnin ini, umum Taib

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar Isnin ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, demikian diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Katanya, beliau sudah menyampaikan notis mengenai pembubaran itu kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng baru-baruini.



"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan
pengundian," katanya pada persidangan akhbar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di
Lapangan Antarabangsa Kuching di sini.

Pengumuman Taib itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri.
DUN Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Taib, yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran negeri ini pada 26 Mac ini,
turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau 
bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana
tidak dapat dilaksanakan.

Ditanya sama ada penyerahan pentadbiran negeri kepada kepimpinan baru dijangkakan pada pertengahan penggal, beliau berkata, perkara itu mungkin.

"Ia mungkin. Saya harap semua orang akan bersetuju," kata Taib.

Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian di samping sudah diminta oleh pucuk pimpinan BN supaya mengetuai jentera pilihan raya negeri.

Ketika mengulas isu yang sama, Najib berkata, Taib memerlukan sedikit masa untuk
memastikan siapa penggantinya yang boleh menjamin kestabilan dan kekuatan BN dan
kerajaan akan berterusan.

"Saya cakap secara (terus) terang bahawa Taib dan saya dah ada persefahaman
bahawa apa yang penting ialah peralihan secara tersusun dan teratur," katanya.

Dalam menentukan tidak berlaku sebarang pengolakan, beliau berkata Taib,
yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta supaya
mengetuai pilhan raya pada kali ini.

"Bila sampai pada masa yang sesuai Taib akan memaklumkan kepada saya," kata
Pengerusi BN itu.

Semalam, Taib memberitahu pemberita supaya tunggu sehari lagi untuk beliau
membuat pengumuman berkaitan pilihan raya negeri selepas spekulasi mengenai
pembubaran dewan undangan negeri semakin memuncak berikutan pertemuan beliau
dengan Yang Dipertua Negeri. 

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri
selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong
Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak 
(SNAP), menyertai BN tahun lalu.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang
pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, menghadiri
pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...