Wednesday, April 20, 2011

Tiada arahan naikkan cukai tanah UUM - Azizan

ALOR SETAR 19 APRIL : Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sebaliknya beliau berkata, dakwaan yang dibuat Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta yang betul.
Azizan berkata kerajaan negeri terdahulu UMNO BN memberikan rebat cukai selama 3 tahun, kepada UUM yang membolehkan IPTA itu membayar cukai dengan kadar RM100'000 setahun.

"UUM diberikan rebat dari Januari 2006 hingga Disember 2008 - perlu bayar RM100,000 dari RM1.7 juta," katanya. 

Sebaik sahaja tempoh rebat itu tamat, UUM terpaksa membayar kadar cukai itu mengikut apa yang telah ditetapkan UMNO BN sebanyak RM1.7 juta setahun.

Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Kedah, gagasan itu sekadar meneruskan apa yang diwariskan dari zaman pemerintahan UMNO BN.

Azizan menjelaskan pemberian rebat cukai tanah kepada UUM, kerajaan negeri kerugian hampir RM1.6 juta setahun.

Azizan menambah, UUM pernah memohon agar kerajaan negeri menyambung rebat cukai itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

Beliau berkata UUM boleh membuat rayuan, namun rayuan itu perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Tidak semestinya kita akan luluskan permohonan UUM," katanya lagi. 

Azizan juga berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

UUM juga diberi pilihan untuk berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. 

Kerajaan negeri dibawah pimpinannya telah menurunkan cukai tanah- tanah milik kerajaan antara 35 peratus hingga 75 peratus.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun.

Mengulas isu bekalan air yang tidak mencukupi di UUM, Azizan menasihatkan UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

Azizan berkata setiap hari Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan bekalan air dikawasan lain lima dan 10 juta liter sahaja.

Senator tepis dakwaan naikkan cukai tanah UUM 10 kali ganda
SHAH ALAM 19 APRIL : Dakwaan bahawa kerajaan negeri Kedah menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda ditepis Senator Muhamad Yusof Husin. 

Muhamad Yusof berkata hakikat yang tidak dapat disembunyikan adalah 3 tahun kebelakangan ini UUM menerima rebat cukai yang diberikan kerajaan negeri tatkala itu, UMNO BN.
Rebat itu membolehkan UUM membayar cukai tanah pada harga RM100'000 setahun.Bagaimanapun sebaik sahaja tempoh 3 tahun itu tamat, UUM terpaksa kembali membayar cukai tersebut pada kadar RM1.2 juta setahun.

Untuk rekod, nilai cukai tersebut ditetapkan kerajaan UMNO BN.   

"Menteri Besar pada ketika itu, Mahathir Khalid telah membuat keputusan dalam mesyuarat exco, dimana rebat ini akan diberikan selama tiga tahun iaitu pada tahun 2006, 2007 dan 2008, ini bermaksud UUM pada ketika itu hanya perlu membayar RM100,00 setahun cukai tanah kepada kerajaan negeri Kedah," katanya.

Muhamad Yusof berkata demikian ketika mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang semberono menuduh kerajaan negeri menaikan cukai UUM sehingga 10 kali ganda berbanding ketika negeri itu ditadbir oleh UMNO BN.

Muhamad Yusof menjelaskan, UUM telahpun membayar cukai RM1.2 juta bagi tahun 2010.

Namun untuk tahun 2011, pengurusan UUM bukan sahaja enggan membayar cukai tersebut, malah mendakwa kerajaan negeri menaikan cukai tanah tersebut sebanyak 10 kali ganda. 

"Pihak saya dimaklumkan bahawa UUM telah pun membayar cukai berkenaan iaitu sejumlah RM1.2 juta setahun pada tahun 2010, dan pada tahun 2011 ini mereka (UUM) mendakwa tidak mahu membayar kerana kenaikannya sehingga 10 kali ganda dan ini adalah satu fakta yang tidak benar," ujarnya lagi

Muhamad Yusof berkata jika UUM tidak berkemampuan untuk membayar nilai cukai tanah tersebut, pihak pengurusan  sepatutnya memohon agar dikurangkan kadar bayaran ataupun memohon agar disambung pemberian rebat cukai tanah daripada kerajaan negeri Kedah.

"kalau sekirannya UUM yang dibawah kerajaan pusat tidak mampu untuk mambayar cukai tanah, apa salahnya kalau UUM sekali lagi membuat rayuan, merayu kepada kerajaan negeri yang ada bagi mendapatkan rebat untuk ia dipertimbangkan, dan bukannya mengeluarkan kenyataan cukai tanah dinaikkan 10 kali ganda," katanya.

Kedah naikkan cukai tanah UUM 10 kali ganda

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan PAS Kedah yang menaikkan kadar cukai tanah di Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda iaitu daripada RM150,000 sebelum 2008 kepada RM1.8 juta, pada tahun ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau juga kecewa kerana kerajaan PAS Kedah gagal menyelesaikan kekurangan bekalan air di UUM sejak setahun lalu yang kini semakin serius.

Berikutan itu, pengurusan UUM terpaksa membelanjakan sehingga RM90,000 sebulan bagi menyewa lori dan mengangkut air bersih untuk memenuhi keperluan harian lebih 20,000 pelajar di universiti berkenaan.

“Sebelum ini (ketika Barisan Nasional) memerintah Kedah, memang mereka tidak mengenakan cukai tanah yang terlalu tinggi, tetapi selepas pembangkang mengambil alih, mereka mengenakan cukai lebih 10 kali ganda.

“Saya ingat ini sesuatu yang tidak membantu usaha kerajaan memartabatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kerajaan PAS Kedah cuba mengaut untung daripada IPTA yang bermatlamat untuk membangunkan modal insan bagi memastikan negara berkembang maju dan bersaing dengan negara lain.

“Ini adalah sesuatu yang pada saya tidak menggambarkan kefahaman kerajaan negeri pembangkang mengenai kepentingan pembangunan IPTA. Dulu Selangor pernah menolak cadangan kita mahu menubuhkan kampus UiTM (Universiti Teknologi Mara), kini Kedah mengenakan cukai tanah 10 kali ganda,” katanya selepas menyerahkan surat tawaran untuk mengikuti Program Khas Pasca Siswazah kepada 10 Ahli Parlimen di sini, semalam. Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Antara Ahli Parlimen terbabit ialah Ahli Parlimen Tenggara, Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong, Johor), Hanim Samuri (Ledang), Datuk Abdul Rahman Bakri (Sabak Bernam), Datuk Ismail Abd Muttalib (Maran), Datuk Md Sirat Abu (Bukit Katil), Datuk Lilah Yasin (Jempol), Datuk Sapawi Amat Wasali@Ahmad (Sipitang) dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Program berkenaan turut disertai Ahli Parlimen dari Indonesia Asmawati Marzuki Alie.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, pada awal tahun ini untuk berbincang isu air dan merayu pengurangan bayaran cukai tanah terbabit.

Bagaimanapun, Dr Mohamed menegaskan UUM belum menerima maklum balas daripada Pejabat Menteri Besar Kedah berhubung perkara ini.

“Ketika berjumpa Menteri Besar, beliau berkata beliau akan cuba menyelesaikannya, tetapi sampai sekarang saya masih menunggu jawapannya,” katanya
- Berita Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...