Wednesday, July 6, 2011

Anak Sosilawati sebak beri keterangan

SHAH ALAM 5 Julai - Anak ketiga Sosilawati, Erni Erinawati Sofia Buhari yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini tidak dapat menahan sebak apabila ditunjukkan gambar ibunya untuk tujuan pengecaman.

Saksi pendakwaan ke-11 itu juga sempat memandang tajam ke arah empat tertuduh yang didakwa membunuh Sosilawati semasa berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai memberi keterangan.

Terdahulu, Erni, 22, memberitahu, dia mengenali Kamarudin Shamsudin yang merupakan pembantu peribadi merangkap pemandu ibunya selain menyifatkan lelaki itu merupakan seorang yang baik, suka berjenaka dan mengambil berat.

Dia juga mengesahkan membuat dua laporan polis pada 31 Ogos dan 2 September tahun lalu berhubung kehilangan Sosilawati selepas disuruh oleh kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana yang mengambil tanggungjawab menjaga adik-beradik mereka yang lain ketika itu.

Sementara itu, guru di sebuah sekolah rendah di Kuala Lipis, Pahang, Khairul Izwan Ismail, 30, pula memberitahu, dia menerima panggilan daripada Kamarudin yang merupakan bapa saudaranya pada pukul 5 petang, 30 Ogos 2010.

Katanya, dia dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan akan singgah bermalam di rumah bapa saudaranya itu pada hari tersebut.
'
'Dia hendak tahu di mana lokasi saya dan menyuruh saya menelefonnya apabila sampai di Kuala Lumpur. Saya ada bergurau dan sempat bertanya dia berada di mana, dia kata berada di Banting,'' jelas saksi.

Kakak Kamarudin, Zaidah Shamsudin, 52, yang turut memberi keterangan pula mengesahkan membuat laporan polis berhubung kehilangan adiknya selepas menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 2 September tahun lalu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...