Wednesday, July 6, 2011

Gelagat saksi 'warnai' perbicaraan

Anak mangsa, Erni Erinawati Sofia (kiri) ditemani Erni Dekritawati Yuliana (kanan) hadir pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

SHAH ALAM 5 Julai - Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada hari kedua di Mahkamah Tinggi di sini hari ini boleh dikatakan agak menarik terutamanya ketika sesi soal balas oleh barisan pembelaan.

Antara saksi pendakwaan yang menarik perhatian ialah jurugambar dari Cawangan Foto Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat, Lans Koperal Mohd. Fairol Awad dan bekas juruwang Fazz Enterprise Sdn. Bhd., Zurayina Jemaat.

Fazz Enterprise merupakan tempat Sosilawati dan pemandunya, Kamarudin Shamsudin dilihat membeli pelbagai jenis kerepek dan kuih raya sebelum hilang.

Mohd. Fairol yang merupakan saksi pendakwa keenam yang pada mulanya kelihatan tenang ketika pemeriksaan utama dilihat 'hilang ingatan' terutamanya ketika disoal oleh peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon dan Amer Hamzah Arshad.

Ini kerana, sepanjang sesi soal balas, saksi tersebut dilihat banyak mendiamkan diri seolah-olah sedang memikirkan sesuatu sehingga Manjeet pada satu ketika terlupa akan soalannya sendiri kerana terlalu lama menunggu.

Saksi berkenaan juga menjawab 'tak ingat' sebanyak lapan kali sepanjang sesi soal balas.
Amer Hamzah pula akibat terlalu lama menunggu jawapan, mengulangi soalan beberapa kali sehinggakan soalannya yang terakhir berhubung individu yang bertanggungjawab memilih gambar-gambar sebagai bukti di mahkamah turut disertakan dengan pilihan jawapan.

''Soalan saya senang sahaja. Siapa pegawai yang beri arahan tentang pemilihan gambar? Ini saya bagi pilihan jawapan: (A) Cif Inspektor Govindan. (B) Asisten Supritendan (ASP) Ishak Yaakob. (C) DPP (Timbalan Pendakwa Raya) Ishak. (D) Tiada di atas,'' ujarnya.

Tindakan peguam yang mewakili tertuduh ketiga, R. Matan, 21, dalam kes itu memasukkan nama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dalam pilihan jawapan itu membuatkan Ishak terkejut dan secara spontan berkata ''Eh, apa pula ni?''

Reaksi tersebut menyebabkan mereka yang hadir termasuk Hakim Datuk Akhtar Tahir tertawa.
Amer Hamzah sekali lagi menarik perhatian apabila beliau 'mengagumi' saksi pendakwa ketujuh, Zurayina, 27, yang disifatkan seorang pekerja yang rajin, tidak curi tulang dan suri rumah yang baik sehingga tidak ada masa untuk membaca akhbar mahupun menonton televisyen kecuali pada hari cuti.

Sedangkan saksi itu pada pemeriksaan utama oleh pendakwa raya menyatakan dia mengenali Sosilawati melalui majalah Wanita yang dibacanya antara dua hingga tiga kali seminggu.

''Saya cadangkan pada awak, apa yang awak tahu tentang kereta yang dibawa oleh Datuk Sosilawati adalah melalui media. Sebab awak tidak keluar dari kedai, awak ada di bahagian belakang kedai. Awak tidak nampak Datuk Sosilawati tiba dan meninggalkan kedai,'' tegas peguam itu.

''Saya tak baca apa-apa. Masa kerja mana boleh baca apa-apa. Balik rumah saya uruskan hal rumah tangga, hal anak-anak, masak. Tak ada tengok tv, tak baca surat khabar,'' jawab wanita terbabit yang agak kelihatan tidak senang dengan asakan Amer Hamzah.

Sementara itu, Manjeet yang sebelum ini agak tegas ketika menyoal balas saksi-saksi, dilihat menggunakan pendekatan yang lebih lembut ketika menyoal balas Suzana Radin Pangit, 39, iaitu isteri kepada pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad.

Peguam terbabit sebelum memulakan soal balas turut memohon maaf terlebih dahulu kepada wanita itu sekiranya ketika bertanyakan soalan dia merujuk kepada Noorhisham sebagai 'your late husband' (arwah suami awak) atau 'you missing husband' (suami awak yang hilang).

Beliau bagaimanapun tidak menggunakan mana-mana istilah itu sepanjang sesi soal balas.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...