Friday, July 25, 2008

Azalina layak cabar ketua Pengerang

Malaysia Kini
Muda Mohd Noor | Jul 25, 08 3:40pm

Kesemua 13 cawangan Umno dalam bahagian Pengerang yang telah bermesyuarat setakat ini mencalonkan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said bertanding jawatan ketua bahagian.

Ketua bahagian sekarang ialah Harun Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Selat.

Azalina pula merupakan naib ketua bahagian Pengerang.

Harun telah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya. Umno bahagian Pengerang mempunyai 33 cawangan.

Calon bagi jawatan ketua bahagian memerlukan 20 peratus daripada jumlah cawangan, timbalan ketua (15%), naib ketua (10%) dan ahli jawatankuasa (2 cawangan).

Manakala bagi bahagian yang mempunyai lebih daripada 150 cawangan, mencukupi bagi seseorang calon itu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 cawangan bagi jawatan ketua, 20 cawangan (timbalan ketua), dan 10 cawangan bagi naib ketua.

azalina othman 02Seorang ketua cawangan yang dihubungi Malaysiakini hari ini berkata cawangan-cawangan berkenaan telah mencalonkan Azalina kerana ahli-ahli dimahukan perubahan dalam pucuk pimpinan bahagian.

Tidak sehaluan

"Kami sepakat mahukan muka baru menerajui bahagian ini. Dan orang yang paling layak menjadi ketua bahagian Pengerang ialah Azalina.

"Selama ini kepimpinan antara bahagian dengan Parlimen tidak sehaluan menyebabkan banyak program di Pengerang tidak berjaya," katanya.

Sebagai contoh, katanya, apabila ada program yang membabitkan Azalina, ketua bahagian tidak memberi kerjasama.

Begitu juga sebaliknya, kata beliau, apabila terdapat program anjuran Harun, ia tidak disertai oleh Azalina.

Setakat ini kesemua 13 cawangan terbabit mencalonkan Mohamad Long untuk mengekalkan jawatannya.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, ada di kalangan baki 20 cawangan yang belum bermesyuarat, akan mencalonkan seorang calon baru untuk jawatan timbalan.

Mohamad dikatakan sehaluan dengan Harun, manakala calon baru itu adalah penyokong Azalina.

Peluang cerah

Pemimpin berkenaan berkata, pertarungan antara Azalina dan Harun sudah tidak dapat dielakkan.

"Azalina sudah sebut beberapa kali beliau bertanding atas kehendak ahli manakala Harun pula mahu menjaga maruahnya.

"Nampaknya pertarungan dua gergasi bahagian ini tidak dapat dielakkan lagi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pencalonan daripada 13 cawangan setakat ini, peluangnya berpihak kepada Azalina.

Katanya, ini mungkin kerana jawatan menteri pelancongan memberi kelebihan kepada Azalina.

"Ada kemungkinan Azalina akan menang mudah kali ini kerana rata-rata orang mahukan menteri itu mengetuai bahagian Pengerang," katanya lagi.

Beberapa cawangan lagi akan mengadakan mesyuarat hujung minggu ini manakala semua cawangan akan berbuat demikian sebelum atau pada 3 Ogos.

Mengesan surat Batu Puteh milik M'sia

Malaysia Kini
Jul 25, 08 2:12pm

Seorang ahli Persatuan Sejarah Negeri Johor sedang menjelajah ke seluruh negeri itu untuk mengesan sepucuk surat yang berusia 164 tahun yang membuktikan bahawa Batu Puteh adalah hak Malaysia.

Surat tersebut ditulis pada tahun 1844 oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, William John Butterworth, kepada Sultan dan Temenggong Johor.

Surat tersebut begitu penting kerana ia bukan sahaja menyentuh permohonan pihak British untuk membina rumah api di Batu Puteh, tetapi ia turut membuktikan hak negara.

linggiu reservoir johor dam 280207 zaaba abdul samadZaaba Abdul Samad memulakan misinya itu sejak dua tahun lalu. Beliau telah menemui waris-waris keturunan Temenggong Muar yang masih tinggal di Muar dan Segamat serta waris keturunan Kesultanan Johor dengan harapan untuk mengesan surat tersebut.

"Saya turut menemui pelbagai individu yang mendakwa mereka mempunyai pelbagai dokumen bersejarah tetapi malangnya sehingga kini masih gagal menemui surat terbabit," katanya kepada Bernama.

Bulan lalu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan terus berusaha mencari bukti-bukti bagi membuktikan haknya terhadap Batu Puteh walaupun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei lalu memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak ke atas batuan tersebut.

Wisma Putra telahpun diarahkan supaya berusaha kembali untuk mengesan surat oleh Gabenor Negeri-negeri Selat pada 1844 itu, dengan harapan penemuannya akan membantu Malaysia membuka semula kesnya terhadap Batu Puteh.

ICJ yang bersidang di The Hague, Belanda, turut memutuskan bahawa Malaysia berhak ke atas Terumbu Karang Tengah manakala hak terhadap Terumbu Karang Selatin pula akan ditentukan di mana perairannya terletak.

Usaha sukarela

pulau batu putih pulau batu puteh 230508Bagi Zaaba, walaupun usahanya selama ini belum menunjukkan sebarang hasil, tetapi ia tidak pernah melemahkan semangatnya daripada terus menjelajah ke
seluruh Johor untuk mengesan surat berkenaan.

Sambil menyifatkan usaha sukarelanya itu sebagai tidak lebih suatu tanggungjawab seorang rakyat kepada negaranya, beliau berkata, sehingga kini beliau belum terfikir untuk menamatkan inisiatifnya itu.

"Walaupun Batu Puteh itu hanya merupakan batuan yang terletak di tengah-tengah laut, tetapi ia adalah hak milik kita semua (rakyat Malaysia dan Johor) dan usaha perlu dilakukan untuk memastikan ia (Batu Puteh) kekal milik kita semua," katanya.

Zaaba berkata beliau sehingga kini masih lagi menerima maklumat daripada pelbagai sumber di Johor tentang dokumen-dokumen bersejarah termasuk surat pada 1844 yang dipegang oleh beberapa individu.

Bagaimanapun, menurut Zaaba, oleh kerana beberapa sebab tertentu, beliau menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa surat penting 1844 oleh Gabenor Butterworth yang beribu pejabat di Singapura pada ketika itu, masih disimpan di republik itu ketika ini.

Satu daripada sebab di sebalik keyakinannya itu adalah kerana Singapura yang diperintah oleh British, menerusi muzium dan arkibnya, telahpun mempunyai sistem simpanan dan penjagaan dokumen-dokumen yang baik pada ketika itu, katanya.

Beliau juga berkata satu usaha juga perlu dilakukan untuk bertemu dan meminta bantuan daripada waris-waris Kesultanan Johor yang masih tinggal di Singapura untuk mengesan surat itu.

Menurutnya beliau dimaklumkan bahawa waris keturunan Kesultanan Johor yang masih tinggal di Singapura masih menyimpan pelbagai dokumen bersejarah yang berkemungkinan boleh membantu Malaysia menuntut semula haknya terhadap Batu Puteh.

Rogol ganti masak-masak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fauzi Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Jika selama ini main ‘masak-masak atau main kahwin-kahwin’ begitu sinonim dengan kanak-kanak, namun pengakuan tiga murid sekolah rendah yang terjebak dalam permainan ‘main rogol-rogol’ sangat menggemparkan.

‘Permainan’ yang bertitik tolak daripada ketagihan menonton VCD lucah itu mendorong kanak-kanak bawah umur terbabit ghairah mencuba melakukan hubungan seks walaupun sesama saudara terdekat.

Lebih memeranjatkan apabila murid sekolah rendah seawal usia 10 tahun itu tergamak menjadikan adik perempuan serta kakak dan adik saudara sebagai bahan eksperimen melakukan perbuatan terlarang terbabit.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, Ahmadi Baharudin, yang memberikan kaunseling kepada sekumpulan murid sekolah rendah yang dihantar untuk pemulihan akhlak dan akidah di sebuah pusat dakwah di Banting, Selangor, baru-baru ini.

Dalam temu bual pada sesi kaunseling itu, katanya, tiga murid lelaki, masing-masing berusia 11 tahun dan seorang berumur 10 tahun, membuat pengakuan jujur mengenai keterlanjuran mereka melakukan zina akibat terangsang selepas menonton VCD lucah.

Katanya, seorang daripada murid terbabit yang dikenali sebagai Amir, 11, mendakwa gagal mengawal nafsu sebelum mencabul kehormatan adik kandung sendiri berusia enam tahun.

“Amir yang berasal dari pinggir ibu kota mendakwa kerap menonton VCD lucah yang akhirnya mendorong dia menjadikan adik kandung sendiri sebagai mangsa pemuas nafsu.

“Saya diberitahu ketika kejadian, Amir menonton VCD lucah bersama rakan di rumah ketika ibu dan bapa keluar bekerja,” katanya.

Akibat tidak dapat mengawal gelojak nafsu, Amir menarik adiknya masuk ke bilik sebaik rakan beredar.

“Adiknya yang berusia enam tahun tidak mampu berbuat apa-apa berikutan si abang lebih ‘pandai’ akibat terpengaruh dengan perbuatan dalam VCD lucah. Malah, dia memberitahu, perbuatan terbabit sekadar ‘main rogol-rogol’ saja,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan tidak bermoral kanak-kanak terbabit hanya diketahui ibu bapanya selepas adik perempuan mengadu mengenai perlakuan jijik si abang.

“Amir memberitahu dia dipukul teruk dan tidak dibenar keluar rumah serta bergaul dengan rakan hingga dihantar ke pusat itu untuk mendapat bimbingan,” katanya.

Ahmadi berkata, Amir mendakwa mudah mendapatkan VCD lucah daripada rakan selain membelinya di pasar malam berhampiran dengan menggunakan wang saku pemberian ibu bapa.

Seorang murid yang dikenali sebagai Ashraf, 10, pula mengaku melakukan perbuatan ‘main rogol-rogol’ itu bersama kakak saudaranya yang berusia 12 tahun dan puncanya juga sama iaitu pengaruh VCD lucah.

“Ashraf memberitahu, ketika kejadian dia dan kakak saudaranya menonton VCD lucah bersama selama dua jam sebelum kanak-kanak perempuan itu mengajaknya ke bilik,” katanya.

Selepas itu, katanya, mereka melakukan aksi sama seperti dalam VCD berkenaan selama lima minit sebelum dilihat bapa tiri Ashraf yang pulang ke rumah.

Seorang lagi murid berusia 11 tahun dikenali sebagai Kamal terjebak dengan aktiviti ‘main rogol-rogol’ bersama adik saudaranya.

Kanak-kanak berkenaan yang tinggal di ibu negara mendakwa terpengaruh melakukan seks selepas menonton VCD lucah yang dipinjam daripada rakan.

Pengakuan jujur ketiga-tiga murid terbabit yang dirakamkan menggunakan perakam video dianggap gejala sosial memeranjatkan berikutan membabitkan kanak-kanak belum baligh.

MB: Isu Terengganu guna Mercedes ganti Perdana selesai

mStar Online
25-07-2008 06:03:15 PM

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menganggap isu berhubung pembelian 14 Mercedes Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta untuk kegunaan anggota exco kerajaan negeri Terengganu telah selesai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Kata Ahmad, dalam pertemuan dengan kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur, ketiga-tiga mereka mencapai persefahaman bahawa isu berkenaan sudahpun selesai.

Namun, ketika ditanya sama ada kerajaan Terengganu dibenarkan menggunakan kereta Mercedes sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri, beliau enggan mengulas sebaliknya meminta media membuat tafsiran sendiri.

"Selesai ikut pandangan kami bertiga, jadi tidak perlu ulas lagi. Tengkoklah perkembangan terbaru... buatlah tafsiran sendiri," katanya selepas merasmikan mesyuarat Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri wakil Rakyat (Serikandi) di sini hari ini.

Ahmad tetap mempertahankan keputusan kerajaan negeri membeli kereta Mercedes tersebut dan menyatakan pelbagai pihak termasuk menteri besar negeri lain bersetuju dengan pandangannya bahawa penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive terlalu tinggi.

"Saya merasakan bahawa kita sebagai kerajaan bertanggungjawab terhadap rakyat. Kita bukan hendak menunjuk-nunjuk atau membazir wang rakyat tetapi pembelian kereta Mercedes ini dilakukan bagi menjimatkan perbelanjaan tahunan kerajaan negeri," katanya.

"Ya, kami (Abdullah dan Najib) telah mencapai kata putus dalam soal ini ketika pertemuan di Pusat Dagangan Dunia Putra, isu ini telah selesai dan saya tidak boleh mengulas lanjut," kata beliau.

Tiga hari lepas, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta nasional itu sejak 2004 hingga sekarang.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Ahmad Sbagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Pembelian kereta Mercedes itu yang berharga RM245,000 sebuah adalah untuk kegunaan 10 Anggota Exco kerajaan negeri, sebuah untuk Speaker Dewan Undangan Negeri dan tiga lagi untuk Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.

Ekoran isu itu, sejak kelmarin, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada empat pemandu Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang terlalu tinggi.

Enam pegawai BPR berkenaan telah datang ke Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan Terengganu, sejak petang kelmain dan pagi semalam bagi mengambil dokumendokumen berkaitan untuk diteliti.

Ahmad juga menyambut baik tindakan BPR yang memulakan siasatan dalam berkenaan.


aku jamin jika kes ini dilakukan oleh negeri Pakatan Rakyat, sure isu ni takkan selesai. senangnya cara nak selesaikan masalah. Duit tu duit rakyat !!!! bukannya hasil kutipan yuran UMNO.

Mahathir gesa ahli Umno paksa Abdullah undur sekarang

mStar Online
25-07-2008 06:13:34 PM

Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Dalam kritikan terbaru terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

"Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: "Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama."

Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno pada 19 Mei lalu atas alasan tidak mahu berada dalam parti yang dipimpin oleh Abdullah dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Kata Dr. Mahathir, beliau hanya akan kembali ke Umno jika Abdullah bukan lagi Presiden Umno.

Pada 10 Julai lalu, Abdullah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kepimpinan kerajaan dan parti membabitkan beliau dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang Jun 2010.

Tambah beliau, ahli-ahli Umno tidak harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 untuk mengalahkan BN dan Umno supaya Abdullah berundur.

"Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah. Jika ahli Umno hendak melihat Umno dan BN dipulih semula, paksalah Abdullah letak jawatan sekarang.

"Jangan calon (mencalonkan) Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.

"Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri," katanya lagi.

Ahli-ahli Umno, menurut beliau, akan bertanggungjawab terhadap kehancuran Umno dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Kata Dr. Mahathir, setiap kali beliau mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata "awak yang lantik dia".

"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya.

"Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," katanya.

Sambil memberikan latar belakang Abdullah sejak pemilihan 1987 dengan panjang lebar, Dr. Mahathir memberitahu "saya jelaskan latar belakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya."

"Saya rela dihukum jika saya salah," kata beliau yang menyerahkan kuasa pada Oktober 2003.

"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," katanya.

Kata bekas Presiden Umno itu, jika Abdullah benar-benar menyayangi Umno, beliau harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

"Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab Umno dan Barisan Nasional jadi lemah," katanya.


biasalah, orang UMNO yang ada kepentingan sure nak kena jaga bonton masing-masing. nyayian koir kena teruskan.

Satu lagi cawangan Umno Pahang calon Najib tanding Presiden

mStar Online
25-07-2008 06:06:11 PM


KUANTAN:
Satu lagi cawangan Umno di Pahang mahu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Disember ini.

Mesyuarat Umno Cawangan Bukit Kuantan 3 dalam Bahagian Paya Besar yang membuat usul itu dalam mesyuarat agungnnya semalam, turut mencadangkan supaya peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib dipercepatkan sebelum Disember ini bagi mengelak pertandingan jawatan tertinggi parti itu.

Timbalan Ketua Umno Cawangan Bukit Kuantan 3, Ahmad Ibrahim memberitahu Bernama hari ini bahawa cawangan berkenaan mengemukakan usul itu berdasarkan beberapa faktor tanpa menerima desakan mana-mana pihak.

"Faktor utama, tempoh peralihan kuasa yang dipersetujui antara Presiden parti kepada timbalannya iaitu pada 2010 adalah terlalu panjang.

"Peralihan kuasa itu seharusnya dipercepatkan dan kita mencadangkan supaya ia diadakan sebelum Disember ini jika pertandingan jawatan nombor satu itu hendak dielakkan," katanya.

Ahmad berkata, kekalahan Umno dan Barisan Nasional di lima negeri dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas memberi petunjuk bahawa perubahan pucuk pimpinan perlu dilakukan segera.

Cawangan itu bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang nama untuk jawatan Timbalan Presiden parti.

Pada 17 Julai lepas, Umno Cawangan Kampung Ubai, dalam Bahagian Pekan, mencadangkan Najib untuk jawatan Presiden.

Dua hari selepas itu, Najib berkata, beliau tetap komited kepada pelan peralihan yang telah dipersetujui dengan Perdana Menteri iaitu pada Jun 2010.

Tun Abdul Majid Berang Dengan Dakwaan Peguam Bela Saksi Pendakwaan Penipu

25 Julai, 2008 17:26 PM

SHAH ALAM, 25 Julai (Bernama) -- Berlaku pertikaman lidah antara Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar, apabila Tun Abdul Majid naik berang dengan dakwaan peguam itu bahawa saksi pendakwaan penipu.

Tun Abdul Majid meminta Kamarul Hisham bersikap adil terhadap semua pihak dan tidak terus mendakwa saksi pendakwaan adalah penipu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan lepas.

"Jika semua saksi adalah penipu dengan itu tertuduh juga adalah penipu," tegas Tun Abdul Majid pada permulaan prosiding perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Ketika itu peguam itu sedang menyampaikan hujahannya.

Kamarul Hisham: "Jika itu yang berlaku, dengan itu tiada apa yang perlu dibicarakan."

Sesi perang mulut itu hanya terhenti apabila Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin meminta kesemua pihak bertenang dan menasihatkan Tun Abdul Majid membalas dakwaan Kamarul Hisham apabila tiba giliran pendakwaan membuat hujahan.

Terdahulu, ketika berhujah, Kamarul Hisham mempersoalkan kredibiliti kenyataan Cif Insp Koh Fei Cheow dan ASP Zulkarnain Samsudin mengenai siapa yang mengeluarkan jaket dan meletakkannya ke atas katil.

"Menurut Zulkarnain, Sirul Azhar yang mengeluarkan jaket itu seperti dalam kenyataan kedua (kenyataan kedua itu ialah "Saya simpan barang kemas di dalam jaket").

"Keadaan ketika Sirul Azhar membuat kenyataan kedua itu, menurut Zulkarnain ialah semasa dia mengeluarkan jaket itu tetapi Koh berkata 'saya nampak Zulkarnain mengeluarkan jaket hitam tersebut dan meletakkan ke atas katil'.

"Ini jelas menunjukkan keadaan bahawa dakwaan Zulkarnain yang Sirul Azhar membuat kenyataan itu sebenarnya tidak berlaku. Adakah kenyataan itu pernah dibuat? Ini lebih daripada melampaui keraguan munasabah," katanya.

Kamarul Hisham turut mempersoalkan kenyataan ketiga (inilah barang dia) dan menegaskan kenyataan itu tidak pernah dibuat sepertimana juga dengan kenyataan kedua.

"Malahan jika kenyataan kedua dan ketiga itu ada dibuat, ia tidak boleh diterima pada bila-bila masa selepas barang itu ditemui, " katanya.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi keesokkannya. Penganalisi politik Abdul Razak, 47, dituduh bersubahat dengan mereka.

Perbicaraan disambung Isnin.

-- BERNAMA

MCA Terima 10 Bantahan Berkaitan Pemilihan Peringkat Bahagian

25 Julai, 2008 16:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- MCA menerima kurang daripada 10 bantahan berkaitan dengan proses pencalonan bagi pemilihan peringkat bahagian parti pada Selasa lepas, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.

"Tidak banyak bantahan, hanya masalah teknikal mengenai senarai calon, venue pemilihan yang tidak begitu sesuai. Jadi daripada lebih 70 pemilihan peringkat bahagian, kami hanya menerima kurang daripada 10 bantahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kelima iProperty.com di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini Jumaat.

Ong, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata parti itu akan memperbetulkan semua bantahan yang boleh dikemukakan dalam masa 48 jam setelah proses pencalonan tamat.

Pengundian bagi sayap Pemuda dan Wanita peringkat bahagian akan diadakan Sabtu ini manakala jawatan di peringkat bahagian parti pula pada hari berikutnya.

Ong berkata Ahad ini, 2,188 anggota akan dipilih sebagai perwakilan ke pemilihan pusat parti pada 18 Okt.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding untuk jawatan presiden, Ong berkata: "Saya tiada ilham lagi, yang penting pemilihan (bahagian, Wanita dan Pemuda) kena slesai baru kita tengok apa keadaan."

Mengenai muzakarah antara PAS dan Umno yang mungkin diteruskan, Ong berkata perkara itu boleh diteruskan dengan turut mengambil kira kepentingan rakyat berbilang kaum.

"Saya tidak nampak apa salahnya Umno bermuzakarah dengan PAS kerana Malaysia telah merdeka lebih 50 tahun, maka apa saja harus mengambil kira kepentingan negara dan semua rakyat.

"Tidak harus bertumpu kepada sesuatu kaum dan puak sahaja, kepentingan masyarakat majmuk harus diambil kira," katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata kemungkinan muzakarah antara Umno dan PAS akan diteruskan demi kepentingan negara dan rakyat khususnya agama Islam.

-- BERNAMA

Agong Serah Jalur Gemilang Kepada Kontinjen Ke Beijing

25 Julai, 2008 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Menjelang Sukan Olimpik di Beijing pada 8 Ogos ini, kontinjen negara hari ini menerima suntikan semangat dalam pemburuan pingat emas pertama negara pada temasya sukan tersebut apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini, Tuanku Mizan menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Datuk Ho Koh Chye pada majlis yang turut dihadiri oleh 22 atlet kebangsaan yang layak ke temasya sukan tersebut.

"Kontinjen Malaysia sangat bertuah kerana dalam dunia, jarang sekali ketua negara sanggup meluangkan masa untuk bertemu atlet terutama atlet yang akan bertanding pada Sukan Olimpik," kata Ho kepada pemberita di sini Jumaat.

Ditanya apakan titah Tuanku Mizan ketika menyerahkan Jalur Gemilang kepadanya, Ho berkata," Tuanku bertitah, selamat berjaya."

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis itu berkata seramai 33 atlet dan 29 pegawai akan ke temasya di Beijing yang berlangsung sehingga 24 Ogos, untuk bertanding dalam 29 acara melalui sembilan jenis sukan.

"Walaupun harapan meraih emas pertama Malaysia dalam sejarah temasya tersebut terletak pada sukan badminton, memanah dan berbasikal, namun sukan lain yang turut layak ke Bejing juga berpotensi untuk menyumbang pingat," katanya.

Penyertaan kontinjen negara juga mencatat sejarah sebagai kontinjen terbesar negara ke temasya tersebut sejak Malaysia mula menyertai temasya edisi 1956 di Melbourne, Australia, katanya.

-- BERNAMA

Perpaduan Melayu Bukan Ancaman

Blog Khir Toyo (Bekas MB Selangor merangkap ketua pembangkang Selangor)

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Terima kasih kerana memberi respon yang pelbagai kepada catatan "Impian Saya".Ini memberi saya ruang untuk melihat pendapat pelbagai golongan.

2. Saya tidak fikir orang bukan Melayu atau bukan Islam perlu merasa bimbang atau gundah gulana apabila ada usaha orang Melayu untuk berdialog mencari arah tuju perpaduan baru bagi menjaga kepentingan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan dan persetujuan kemerdekaan.

3. Belum pernah ada dalam sejarah, perpaduan atau kesatuan Melayu membawa kepada penindasan ke atas kaum bukan Melayu. Hakikatnya orang Melayu terkenal dengan sikap bertolak ansur, lebih banyak memberi daripada mengambil. Seingat saya tiada satu pun tanah atau harta orang bukan Melayu dirampas apabila negara ini bebas dari pemerintahan penjajah seperti yang berlaku di beberapa negara dunia ketiga lain.

4. Namun orang bukan Melayu harus berasa bimbang jika orang Melayu mulai merasai bahawa hak dan kepentingan agama Islam dan bangsanya tercabar. Ini terjadi pada 1969 yang mengakibat satu tragedi hitam kepada sejarah perpaduan negara.

5. Tragedi ini berlaku kerana ketika hak agama Islam dan orang Melayu terancam tiada usaha pemimpin Melayu ketika itu untuk menenangkan keadaan orang Melayu. Tiada usaha mewujudkan suasana yang meyakinkan orang Melayu bahawa tiada ancaman terhadap mereka walaupun ada usaha mencabar isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

6. Justeru orang bukan Melayu dan bukan Islam patut melihat pertemuan dan perbincangan antara orang Melayu ini dari sudut yang positif. Jika ada persefahaman di kalangan pemimpin Melayu untuk terus menjaga kepentingan agama dan bangsa, pasti ini lebih mententeramkan arus kerisauan di bawah. Ini sekaligus dapat menstabilkan keadaan politik kita.

7. Ada juga andaian bahawa saya dan pemimpin Pas yang berbincang untuk menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak menghormati kehendak rakyat. Ada pula yang mendakwa bahawa perbincangan tersebut bertujuan menyelamatkan UMNO.

8. Saya fikir ini adalah andaian yang tidak tepat. Keputusan pilihan raya umum ke 12 menunjukkan BN merupakan parti yang mendapat kerusi terbanyak sebanyak 20 kerusi, diikuti oleh PKR 15, DAP 13 dan Pas 8. Malah jika sebagai parti secara sendiri pun UMNO masih merupakan parti yang paling banyak menang kerusi di DUN Selangor 18 kerusi.

9. Perlu diingat Pas, PKR dan DAP bertanding secara parti masing-masing bukannya atas tiket Pakatan Rakyat. Malahan di kampung-kampung Pas tidak pernah mengakui kerjasama mereka dengan DAP. Justeru, dalam keadaan tiada parti yang mendapat majoriti, mana-mana parti berhak mengadakan rundingan untuk menubuhkan kerajaan campuran. Ini adalah keadaan biasa di mana-mana negara yang mengamalkan amalan demokrasi berbentuk banyak parti.

10. Kebimbangan bahawa kerajaan campuran BN-Pas satu cubaan menidakkan kerajaan berbilang kaum adalah tidak tepat. Ini kerana BN masih mempunyai MCA yang tentu akan diberi jawatan EXCO.

11. Saya tidak akan menarik balik kenyataan bahawa DAP dan Hindraf mewakili pandangan ekstremis kaum mereka. Apakah bagi parti seperti DAP yang sejak penubuhannya mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperjuangkan kedudukan sama rata agama Islam dengan agama-agama lain ia bukan mewakili ekstremis Cina? Apakah bagi parti yang bercakap soal Malaysian Malaysia apabila mahu mencabar kedudukan orang Melayu tetapi menolak konsep Sekolah Wawasan bukan eksteremis kaum?

12. Bagi Hindraf pula, sungguh pun yang bersimpati dengan mereka bukanlah semuanya ekstremis tetapi tuntutan-tuntutan mereka (sila baca di sini) adalah tuntutan ekstremis perkauman.

Janganlah takut kepada penyatuan mana-mana bangsa sekalipun kerana penyatuan sesuatu bangsa belum tentu membawa mudarat kepada bangsa lain. Jika dilihat sejarah politik negara pun, penyatuan orang Melayu (atau kurangnya persengketaan politik Melayu) akan diikuti oleh kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana perbincangan agenda penyatuan Melayu masih dalam ruang lingkup menjaga kedudukan agama Islam dan orang melayu dalam Perlembagaan Negara.

Janganlah sebahagian kita takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

walaupun PAS dan DAP tak berpakat secara rasmi, tapi semua penyokong pakatan rakyat sedia maklum komitmen mereka. Yang paling utama, apa BN @ UMNO dah buat untuk melayu di terutamanya di Selangor semenjak 50 tahun yang lampau???
bila dah kalah...macam-macam lah ceritanya. bila jadi MB dulu???
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...