Friday, July 25, 2008

Perpaduan Melayu Bukan Ancaman

Blog Khir Toyo (Bekas MB Selangor merangkap ketua pembangkang Selangor)

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Terima kasih kerana memberi respon yang pelbagai kepada catatan "Impian Saya".Ini memberi saya ruang untuk melihat pendapat pelbagai golongan.

2. Saya tidak fikir orang bukan Melayu atau bukan Islam perlu merasa bimbang atau gundah gulana apabila ada usaha orang Melayu untuk berdialog mencari arah tuju perpaduan baru bagi menjaga kepentingan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan dan persetujuan kemerdekaan.

3. Belum pernah ada dalam sejarah, perpaduan atau kesatuan Melayu membawa kepada penindasan ke atas kaum bukan Melayu. Hakikatnya orang Melayu terkenal dengan sikap bertolak ansur, lebih banyak memberi daripada mengambil. Seingat saya tiada satu pun tanah atau harta orang bukan Melayu dirampas apabila negara ini bebas dari pemerintahan penjajah seperti yang berlaku di beberapa negara dunia ketiga lain.

4. Namun orang bukan Melayu harus berasa bimbang jika orang Melayu mulai merasai bahawa hak dan kepentingan agama Islam dan bangsanya tercabar. Ini terjadi pada 1969 yang mengakibat satu tragedi hitam kepada sejarah perpaduan negara.

5. Tragedi ini berlaku kerana ketika hak agama Islam dan orang Melayu terancam tiada usaha pemimpin Melayu ketika itu untuk menenangkan keadaan orang Melayu. Tiada usaha mewujudkan suasana yang meyakinkan orang Melayu bahawa tiada ancaman terhadap mereka walaupun ada usaha mencabar isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

6. Justeru orang bukan Melayu dan bukan Islam patut melihat pertemuan dan perbincangan antara orang Melayu ini dari sudut yang positif. Jika ada persefahaman di kalangan pemimpin Melayu untuk terus menjaga kepentingan agama dan bangsa, pasti ini lebih mententeramkan arus kerisauan di bawah. Ini sekaligus dapat menstabilkan keadaan politik kita.

7. Ada juga andaian bahawa saya dan pemimpin Pas yang berbincang untuk menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak menghormati kehendak rakyat. Ada pula yang mendakwa bahawa perbincangan tersebut bertujuan menyelamatkan UMNO.

8. Saya fikir ini adalah andaian yang tidak tepat. Keputusan pilihan raya umum ke 12 menunjukkan BN merupakan parti yang mendapat kerusi terbanyak sebanyak 20 kerusi, diikuti oleh PKR 15, DAP 13 dan Pas 8. Malah jika sebagai parti secara sendiri pun UMNO masih merupakan parti yang paling banyak menang kerusi di DUN Selangor 18 kerusi.

9. Perlu diingat Pas, PKR dan DAP bertanding secara parti masing-masing bukannya atas tiket Pakatan Rakyat. Malahan di kampung-kampung Pas tidak pernah mengakui kerjasama mereka dengan DAP. Justeru, dalam keadaan tiada parti yang mendapat majoriti, mana-mana parti berhak mengadakan rundingan untuk menubuhkan kerajaan campuran. Ini adalah keadaan biasa di mana-mana negara yang mengamalkan amalan demokrasi berbentuk banyak parti.

10. Kebimbangan bahawa kerajaan campuran BN-Pas satu cubaan menidakkan kerajaan berbilang kaum adalah tidak tepat. Ini kerana BN masih mempunyai MCA yang tentu akan diberi jawatan EXCO.

11. Saya tidak akan menarik balik kenyataan bahawa DAP dan Hindraf mewakili pandangan ekstremis kaum mereka. Apakah bagi parti seperti DAP yang sejak penubuhannya mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperjuangkan kedudukan sama rata agama Islam dengan agama-agama lain ia bukan mewakili ekstremis Cina? Apakah bagi parti yang bercakap soal Malaysian Malaysia apabila mahu mencabar kedudukan orang Melayu tetapi menolak konsep Sekolah Wawasan bukan eksteremis kaum?

12. Bagi Hindraf pula, sungguh pun yang bersimpati dengan mereka bukanlah semuanya ekstremis tetapi tuntutan-tuntutan mereka (sila baca di sini) adalah tuntutan ekstremis perkauman.

Janganlah takut kepada penyatuan mana-mana bangsa sekalipun kerana penyatuan sesuatu bangsa belum tentu membawa mudarat kepada bangsa lain. Jika dilihat sejarah politik negara pun, penyatuan orang Melayu (atau kurangnya persengketaan politik Melayu) akan diikuti oleh kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana perbincangan agenda penyatuan Melayu masih dalam ruang lingkup menjaga kedudukan agama Islam dan orang melayu dalam Perlembagaan Negara.

Janganlah sebahagian kita takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

walaupun PAS dan DAP tak berpakat secara rasmi, tapi semua penyokong pakatan rakyat sedia maklum komitmen mereka. Yang paling utama, apa BN @ UMNO dah buat untuk melayu di terutamanya di Selangor semenjak 50 tahun yang lampau???
bila dah kalah...macam-macam lah ceritanya. bila jadi MB dulu???

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...