Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Wednesday, August 13, 2008
Ketua Pengarah Pelancongan Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Rasuah - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima rasuah berbentuk rawatan pergigian bernilai RM13,860 pada 2005.
Mirza, 51, didakwa menerima suapan itu daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding pengiklanan di mana syarikat itu telah membiayai rawatan tertuduh di Clinical Practice Prosthodontics Sdn Bhd ketika beliau memegang jawatan timbalan ketua pengarah lembaga berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik itu di No.15, Ground Floor, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, di antara 17 Jan hingga 26 Julai 2005.
Mirza menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau berkata jumlah itu adalah munasabah setelah pihak pendakwaan mengambil kira jumlah suapan yang terlibat serta kedudukan Mirza sebagai pegawai kanan kerajaan.
Peguam Mirza, Manmohan Kang meminta mahkamah agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan peribadi memandangkan beliau telah berkhidmat dengan lembaga berkenaan selama hampir 23 tahun dan tidak akan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.
Hakim Fathiyah Idris menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan perbicaraan kes diadakan selama tiga hari bermula 16 Feb tahun depan.
-- BERNAMA
Tuesday, August 12, 2008
Kien Keat-Boon Heong benam beregu Jepun - BERNAMA
BEIJING – Beregu emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memulakan kempen Sukan Olimpik dengan aksi meyakinkan apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto, sebentar tadi.
Pasangan muda negara itu hanya mengambil masa 31 minit untuk menang 21-12, 21-16, sekali menebus dua kekalahan mereka kepada Shintaro-Shuichi pada Kejohanan Dunia (Ogos, 2007) dan Seluruh England (Februari).
Meskipun melepasi halangan pertama, Kien Keat-Boon Heong bakal berdepan laluan berduri di suku akhir esok apabila menentang pemenang di antara juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia atau beregu nombor dua China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo. – Utusan
KOO KIEN KEAT - TAN BOON HEONG (MAS) kln Ikeda Shintaro - Sakamoto Shuichi (JPN) 21-12 , 21-16
JKR Akan Pasang Kerangka Pengikat Pada Jejambat MRR2 Yang Retak - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang kerangka pengikat dengan cara membalut tiang penopang jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang retak bagi memperkuat strukturnya sementara siasatan selesai dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata, langkah sementara itu diambil bagi membolehkan lalu lintas dapat dibuka seperti biasa.
"Ini bermakna kekuatan jambatan itu tidak dipersoalkan kerana JKR sudah mengesahkan dari segi strukturnya, ia adalah kukuh," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di jejambat berkenaan.
Beliau turut mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah JKR Datuk Ir Dr Judin Abdul Karim.
Azmi berkata, kerangka pengikat tersebut akan dipasang dalam masa terdekat berkemungkinan sebelum akhir bulan, dan pada masa yang sama JKR turut menjalankan pemeriksaan berterusan terhadap tiang jejambat itu.
Ketika ditanya media berhubung kos pembaikan struktur tiang tersebut dan sama ada kontraktor terdahulu diberi tanggungjawab bagi pembaikan, Azmi menjawab "Belum tentu lagi, ia akan diputuskan setelah siasatan selesai dan ditentukan apakah kelemahan yang dikenal pasti, dan ketika ini siasatan sedang berjalan."
Azmi berkata, pihaknya mendapati pengawasan yang rapi telah dijalankan oleh kontraktor yang berwibawa dan mereka menjalankan kerja dengan baik.
"Namun demikian, kita sedang mengkaji sama ada gentian karbon yang diguna cukup kuat dari segi spesifikasi dan sama ada terdapat kemungkinan sistem yang dipakai ada kelemahan belum diketahui lagi, ini akan disiasat dan memakan masa," katanya.
Pada 3 Ogos lepas, jejambat MRR2 yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalu lintas berikutan terdapat keretakan pada tiangnya.
Arahan itu dikeluarkan JKR dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas beberapa pemandu melaporkan mereka ternampak batu-batu jatuh dari salah satu rusuk jejambat itu dekat stesen komuter Kepong.
Pada Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat kali pertama berikutan masalah keretakan rusuk tiangnya.
Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama, memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos sebanyak RM74.6 juta.
Azmi berkata, JKR menjalankan kerja yang baik dalam mengendalikan perkara itu daripada kerja pembaikan pertama termasuk pelantikan juru perunding dan kontraktor.
"Kami juga mencadangkan kepada JKR untuk mengadakan standard prosedur operasi yang lebih menyeluruh dan ketat dan lebih kerap menjalankan pemeriksaan terutama ketika aliran trafik adalah banyak," katanya.
-- BERNAMA
Kabinet Lulus Beli 21 Helicopter Baru Buat PDRM, Kata Musa Hassan - BERNAMA
LABUAN, 12 Ogos (Bernama) -- Kabinet meluluskan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperoleh 21 helikopter baru pelbagai jenis bagi menampung keupayaan tugas PDRM.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata bagaimanapun kerajaan belum memutuskan lagi tarikh pembelian aset berkenaan.
Buat masa ini PDRM sudah memiliki 12 helikopter, katanya ketika ditemui selepas melawat Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Terumbu Layang-layang dekat sini hari ini.
Musa menghadiri Ops Pasir iaitu eksesais bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Sabah.
Beliau berkata pemilikan aset itu bukan sahaja untuk menjalankan rondaan tetapi untuk membantu tugas pencegahan jenayah.
Dua helikopter PDRM kini digunakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi tujuan pengawasan kawasan perairan Sabah.
Ketika ditanya mengenai eksesais bersama ATM, PDRM dan APMM itu, Musa berkata ini merupakan satu kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasa dalam menjaga perairan negara di bawah angkatan tugas bersama.
"Kita sentiasa mempertingkatkan latihan-latihan dari masa ke masa. Kita juga mempunyai pangkalan kita di negeri ini iaitu di daerah Semporna yang menempatkan Polis Marin dan PGA," katanya.
Beliau berkata terdapat kira-kira 3,000 anggota Polis Marin yang ditempatkan di sini bagi menjaga perairan Sabah.
-- BERNAMA
Pendedahan komplot politik Umno di sebalik tuduhan terhadap Anwar - HARAKAH DAILY
Tue | Aug 12, 08 | 5:14:35 pm MYT
Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi beberapa kali peringatan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang didakwanya secara cuai terbabit dalam konspirasi mengenakan tuduhan liwat ke atas beliau.
Kata Anwar, PM secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan karier politik beliau.
"Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang," ujarnya.
Sebelum ini Ketua Umum KeADILan itu sering mengelak untuk bertembung dengan PM. Kelihatan jelas beliau hanya menumpukan serangan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang didakwanya terbabit dalam pelbagai kes berkaitan rasuah.
Sehingga timbul suatu persepsi di kalangan rakyat, bahawa seolah-olahnya tercetusnya konflik peribadi Anwar-Najib. Anwar menuduh Najib terbabit dalam kes Altantuya Shaariibuu, manakala Najib mengaitkan Anwar dengan kes liwat Saiful Bukhari Azlan.
Mengapa berlaku sebaliknya? Anwar kini dengan nada yang tegas memberikan peringatan seumpama itu terhadap Abdullah?
Ada sumber mendakwa sewaktu kes pertama yang mendakwa Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abdullah adalah antara yang disebut-sebut terbabit.
Ketika itu, selain Tun Dr Mahathir Mohamad, antara yang didakwa terbabit sebagai konspirator utama yang terbabit dalam 'mengenakan' Anwar adalah Tun Daim Zainuddin, Dato' Aziz Shamsuddin, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato' Megat Junid Megat Ayob, Dato' Seri Sanusi Junid dan beberapa orang lain.
Sewaktu Mahathir memecat Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, Abdullah ketika itu menjadi Menteri Luar yang berada di Amerika Syarikat.
Selepas Mahathir memecat Anwar, Abdullah adalah antara individu yang pertama membuat kenyataan dari luar negara, menyokong pemecatan Anwar.
Sehingga ada yang sumber yang mengatakan, Mahathir melantik Abdullah menjadi penggantinya, 'sebagai hadiah' daripada kesetiaan yang tidak berbelah bahaginya kepada Mahathir, khususnya dalam kes Anwar.
Pada ketika itu, walaupun Najib menjadi Naib Presiden yang paling kanan, namun beliau tidak dilantik. Barangkali bukan kerana beliau lebih muda daripada Abdullah, tetapi Najib kelihatannya lebih berhati-hati untuk 'mengiyakan' serangan Mahathir terhadap Anwar berbanding Abdullah.
Justeru ada yang berpendapat, Abdullah Badawi sejak awal-awal lagi (sejak sebelum 1998) sudah 'establish' dengan grup yang mempercayai Anwar terbabit dengan salahlaku liwat.
Maka tidak hairan kali ini, ada yang mendakwa beliau terbabit dalam 'second accusation' terhadap Anwar.
Apakah Abdullah benar-benar terbabit, terserah kepada pihak berkenaan membuktikannya.
Apakah Abdullah sahaja yang terbabit? Apakah mungkin menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas orang kanan Anwar, Mohamed Ezam Md Nor turut menjadi pelakon utama sandiwara terbaru ini?
Cara pembikinan dakwaan pertuduhan liwat ke atas Anwar
Menurut sumber beberapa bulan sebelum pilihan raya umum, dalam satu mesyuarat Gerak, pengerusinya Ezam ada membayangkan bahawa bekas bosnya, Anwar Ibrahim akan terbabit dengan satu lagi kes liwat.
"Waktu itu Ezam membayangkan nama lain (enggan disebut) sebagai pelakon utama yang akan terbabit dengan Anwar, tetapi alih-alih nama Saiful pula timbul.
"Watak-watak dan nama yang disebutkan Ezam waktu itu berbeza dengan watak yang berlaku, tetapi jalan cerita atau plot dramanya sama," kata sumber berkenaan.
Persoalannya bagaimana nama Saiful boleh timbul dalam kes ini. Menurut cerita kawan-kawan yang bertugas di pejabat Anwar, sejurus sebelum pilihan raya Saiful dibawa bertugas di pejabat tersebut oleh seorang bekas staf yang bernama Rahimi.
Rahimi dikenali amat rapat dengan Ezam. Pada waktu itu Ezam sudah lama keluar daripada KeADILan dan sering membuat berbagai kenyataan mengkritik KeADILan dan Anwar sendiri.
Namun, semua mereka menerima kehadiran Saiful dengan sangka baik, dalam keadaan Anwar kekurangan staf kerana kesibukan masing-masing berhadapan dengan pilihan raya umum.
Maka, bermula sebagai tugasan sukarelawan, sebagai 'pembancuh kopi' sehingga kepada tugasan mencatat beberapa perundingan dan perbincangan Anwar dengan pihak-pihak tertentu, Saiful turut terbabit.
Namun, apabila timbul kes yang didakwa Saiful bahawa beliau diliwat Anwar. Semua staf-staf Anwar terkejut dengan dakwaan beliau.
"Sehari sebelum Saiful hilang (difahamkan tiga hari sebelum membuat laporan polis), beliau berbual-bual dengan kami tanpa menunjukkan sebarang apa-apa yang pelik berlaku.
"Beliau menyapa kami, siap dengan senyuman lagi, tetapi apabila tuduhan ini dibuat ke atas bos (Anwar), kami amat terkejut," kata seorang staf Anwar.
Ada sumber yang rapat memberitahu Saiful dibawa untuk mendapatkan 'rawatan akibat diliwat' ke Pusrawi oleh Rahimi dan seorang rakan Ezam (namanya akan didedahkan kemudian).
Mereka juga dikatakan membawa Saiful ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas gagal mendapatkan 'laporan yang memuaskan'.
"Yang sahihnya Saiful berjumpa dengan Ezam, sehari sebelum Saiful membuat laporan polis ke atas Anwar. Rakan-rakan lain juga ada, mereka tidak dibenarkan menyertai perbincangan empat mata antara Ezam dengan Saiful," dakwa satu sumber lain.
Daripada keterangan-keterangan yang diperolehi secara berasingan melalui staf Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, dapat digambarkan secara jelas bahawa, kemungkinan Ezam terbabit dalam komplot bagi merencanakan pertuduhan ke atas Anwar amat besar.
Jadi bagaimana pula Abdullah dan Khairy turut dibabitkan sama dan adakah Najib benar-benar terbabit dalam komplot ini.
Peranan Ezam-Khairy untuk mengenakan Najib?
Umum mengetahui Ezam memasuki Umno melalui Khairy dan berkawan rapat dengan kroni utama Khairy, Dato' Norza Zakaria yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.
Kemasukan dalam Umno Ezam tidak ada kena mengena dengan Najib. Tetapi mengapa Najib terheret dalam kes ini?
Jika Ezam memasuk Umno melalui Khairy dan menghantar borang terus kepada Abdullah di Parlimen, mengapa pula dalam kes Saiful ini, Ezam menyuruh Saiful menemui Najib?
Daripada 'appointment' yang disetkan oleh Ezam untuk Saiful berjumpa Najib. Najib mendengar aduan Saiful. Melalui kenyataannya Najib mengakui bahawa Saiful ada berjumpa dengannya.
Persoalannya mengapa Saiful tidak dibawa Ezam untuk mengadu terus kepada Abdullah? Atau siapakah yang menyuruh Ezam mendapatkan 'appointment' dengan Najib? Apakah dalam plot ini, Khairy turut terbabit untuk 'mengenakan' Najib?
Hasil daripada 'appointment' yang disetkan Ezam tersebut, Najib tersepit dan dibelasah kiri dan kanan oleh Anwar dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Ada kawan-kawan media yang rapat dengan orang-orang Umno berkata, jika Najib tidak menemui Saiful (dalam 'appointment' yang disetkan oleh Ezam), Najib boleh 'mencuci tangan' dan beliau tidak perlu hendak 'pening kepala' dengan tekanan Anwar.
Dan, jika Khairy terbabit dalam kes ini, plot drama menjadi lebih besar. Ianya bukan sekadar pertuduhan liwat ke atas Anwar, malah ianya mengheret kepada 'game' pemilihan dalam pucuk pimpinan Umno menjelang Disember depan.
Semua plot-plot cerita ini menggambarkan wujud 'permainan' besar politik. Dan apabila Ezam yang memulakan langkah ini, apakah tidak mustahil ada 'tangan-tangan' utama yang mencatur 'permainan' ini.
Bagi orang-orang Umno, mereka mengesyaki 'tangan' utama yang memainkan peranan untuk mempertahankan kedudukan Abdullah, 'menghapuskan' Anwar dan menghalang kemaaran Najib, tidak lain tidak bukan adalah Khairy dan Norza.
Apakah Khairy dan juak-juaknya mampu melakukan tindakan politik seperti perumpamaan Inggeris 'killing two birds with stone'?
Persoalan di sebalik hubungan Ezam-Khairy-Norza
Apakah sekarang ini Ezam turut sama terbabit menjadi pelakon utama yang turut sama terbabit dalam percaturan politik dalaman Umno?
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Ezam, jelas bahawa bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan itu mendapat pembiayaan daripada Khairy dan Norza melalui Gerak.
Ada sebahagian kenalan penulis, yang juga merupakan kroni-kroni rapat Ezam mengakui mendapat 'laba' yang besar daripada peruntukan yang diperolehi Ezam.
Ada yang bercerita dengan kawan-kawan, mereka hanya mendapat 'kuah' daripada 'setalam lauk' yang diterima oleh Ezam. Kuah-kuah pun nilaiannya ratusan ribu ringgit, sehingga ada yang membeli kereta baru secara 'cash', membeli rumah dan membuat 'renovation' yang mahal harganya.
Jika 'kuahpun' nilaiannya ratusan ribu ringgit, tidakkah Ezam yang menerima 'setalam lauk' boleh diumpamakan menerima jutaan ringgit daripada pihak-pihak berkenaan.
Itu pun ada yang mendakwa, ketika ditanya kepada Ezam adakah itu sahaja (ratusan RM) upah yang diterima oleh beberapa individu tertentu, Ezam dilaporkan sebagai berkata, "....tunggu dulu, ini baru masuk sikit, ada lagi nak masuk."
Selain daripada itu sumber yang rapat dengan Ezam memberitahu, selepas Ezam memasuki Umno dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak, beliau digantikan oleh Mohd Nazri Yunus.
"Kalau saudara hendak tahu, Nazri ini adalah staf Inska, sebuah institut pemikiran yang dibiayai sepenuhnya oleh Norza," dakwa seorang sumber.
Jika semua dakwaan ini betul, wah hebat betul permainan politik yang dimainkan oleh Khairy, Norza dan Ezam.
Sejauhmana dakwaan ini betul, penulis tidak dapat mempastikannya. Penulis hanya membuat analisis daripada sumber cerita daripada individu-individu berasingan, yang ditemui secara berasingan, lalu digabungjalin menjadi sebuah teori yang ada rasionalnya.
Rumusan daripada 'permainan politik ini' kes liwat ini sebenarnya sudah menjadi lebih besar. Bukan setakat tuduhan terhadap Anwar. Ianya mengheret kepada 'triangle battle' antara Abdullah - Anwar - Najib.
Sama ada Abdullah sedar tentang 'game' ini tidak penting. Tidak ada bezanya jika ianya membabitkan Khairy.
Namun apapun yang berlaku ketika ini, sama sekali tidak akan menjejaskan peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.
Masalah yang lebih besar dihadapi Barisan Nasional dan Umno selain daripada menghadapi Anwar ialah kecamukan politik dalaman.
Sama ada Abdullah dapat bertahan sehingga Jun 2010, sama ada Najib dapat menjadi PM sebelum itu, atau mungkin juga Anwar dapat membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya dicongkak dengan langkah yang amat berhati-hati dan kritikal. - mks. _
Saturday, August 9, 2008
Pemanah Malaysia Berjaya Ke Suku Akhir Olimpik - BERNAMA
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 9 Ogos (Bernama) -- Trio pemanah Malaysia, Wan Khalmizam Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhd Marbawi Sulaiman berjaya mara ke peringkat suku akhir bagi merebut emas acara berpasukan pada Isnin selepas memecahkan rekod kebangsaan dan menduduki tempat ketiga acara menentukan kedudukan hari ini.
Pasukan negara, yang berada di tempat keempat kedudukan dunia, memperoleh sejumlah 1,993 mata, hanya empat mata kurang daripada Ukraine yang berada di tempat kedua manakala juara bertahan Korea Selatan menguasai dengan mata 2,015.
Malaysia dan Ukraine berada di senarai bawah undian kalah mati dan dijangka bertembung antara satu sama lain jika kedua-duanya melepasi lapan saingan terakhir.
Bagi membolehkan pemanah Malaysia yang pertama kali beraksi pada Sukan Olimpik menempah tiket ke separuh akhir, mereka mesti mengalahkan sama ada Itali atau Kanada, yang akan bertembung satu sama lain dalam pusingan pertama.
Itali menduduki tempat keenam dalam kedudukan hari ini dengan pungutan mata 1,986 sementara Kanada berada di tempat ke-11 dengan 1,954 mata.
"Kami telah mensasarkan tempat ketiga hingga keenam bagi mengelakkan berada dalam senarai kedudukan yang sama dengan Korea dan pemanah kita melakukannya dengan baik apabila memecahkan rekod kebangsaan," kata jurulatih negara Lee Jae Hyung, seorang rakyat Korea, yang jelas berpuashati dengan pencapaian anak didiknya.
Dalam pusingan menentukan kedudukan, Wan Khalmizam melakukan pencapaian yang terbaik apabila menduduki tempat kelima individu terbaik dengan pungutan mata 674, yang tanpa disedarinya telah turut memecahkan rekod individu kebangsaan 672 mata.
"Saya pun tak pernah buat macam ini, biasanya bawah 670," kata pemanah kelahiran Kelantan yang akan genap berusia 22 tahun pada 21 Ogos ini.
Chu Sian dan Muhd Marbawi menamatkan saingan dengan masing-masing memperoleh 660 dan 659 bagi kedudukan ke-26 dan ke-27.
Sementara dalam persaingan menentukan kedudukan ditentukan atas 72 panahan, pertandingan berpasukan yang kesemuanya diadakan pada Isnin akan menyaksikan setiap pasukan memanah dengan 24 anak panah.
Pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan bertembung merebut pingat gangsa.
-- BERNAMA
Zulkifli: Peguam Islam perlu terajui Majlis Peguam - MALAYSIAKINI
Sudah sampai masanya peguam yang beragama Islam mengambilalih teraju kepimpinan Majlis Peguam, kata ahli exco Persatuan Peguam Islam, Zulkifli Nordin.
Beliau berkata, ini bagi mengelakkan Majlis Peguam menganjurkan forum yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.
Zulkifli yang juga ahli Parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu memberitahu pemberita demikian selepas menyertai perhimpunan membantah penganjuran forum awam 'memeluk Islam' anjuran majlis tersebut di ibunegara hari ini.
Beliau mendakwa, Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut kerana hendak membuat provokasi terhadap orang Islam.
"Tetapi saya mewakili Persatuan Peguam Islam memberi amaran supaya tidak mencabar umat Islam kerana kesabaran mereka ada hadnya," katanya.
Forum awam tersebut akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.
Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi, sambil melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".
Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".
Zulkifli berkata, forum anjuran Majlis Peguam hari ini sebenarnya bukan dialog tetapi sebaliknya, satu program untuk memprovokasi terhadap umat Islam.
Perkataan menghina
"Semasa saya berunding dengan presiden dan timbalan presiden Majlis Peguam, saya katakan kepada mereka bahawa forum ini tidak wajar diadakan.
"Saya katakan forum ini menguji kesabaran orang Islam," katanya yang gembira kerana umat Islam bersatu menyatakan suara mempertahankan hak mereka.
Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu, Jais Abdul Karim berkata, beliau mendapat tahu 110 peserta telah menghadiri forum tersebut.
Katanya, 95 peratus daripada mereka adalah terdiri daripada orang bukan Islam.
"Semasa kami naik ke tempat forum, saya mendapati ia sedang berjalan dan kami memaksa mereka memberhentikannya.
"Ketika itu ada peserta mengeluarkan perkataan yang menghina kami," katanya sambil menambah "inilah perjuangan yang terpaksa kami lalui untuk menegakkan Islam".
Jais berkata, beliau berharap program seperti ini tidak lagi diadakan pada masa depan.
Katanya, sebanyak 29 penyokong NGO Islam datang untuk menyatakan sokongan membantah forum tersebut.
Gambar demonstrasi bantahan forum "Memeluk Islam" - mStar Online
oleh Victor K. K. NG

Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.

Kumpulan berdemonstrasi berucap di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi dengan pasukan FRU mengawal keselamatan.

Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.


Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.

Sebahagian pengikut 29 badan bukan kerajaan yang menganjurkan demonstrasi bantahan forum "Memeluk Islam".

Pihak polis menemui dua botol yang disyaki Molotov cocktails.

Sebahagian daripada kira-kira 110 peserta yang hadir dalam forum.

Shahril Aziz berang dengan Majlis Peguam.

Zulkifli Nordin turut serta dalam demonstrasi tersebut dan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam.

Kira-kira lebih 300 orang yang sertai demonstrasi tersebut
di luar Majlis Peguam.

Barisan panel forum.

Prof. Mehrun Siraj dan peguam Sulaiman Abdullah.

Suasana di tingkat satu ketika perundingan antara wakil kumpulan membantah dan Majlis Peguam sedang diadakan. - foto The Star oleh oleh VICTOR K. K. NG

Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.
BN Tiada Calon istimewa Berdepan Anwar Di Permatang Pauh, Kata Dr Mahathir - BERNAMA
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon "istimewa" yang mampu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan memenangi pilihan raya tersebut kerana ia merupakan kubu kuat beliau di samping BN juga sudah hilang kredibiliti setelah gagal menawan kawasan berkenaan pada beberapa pilihan raya umum lepas.
"Ketika ini, saya tidak nampak sesiapa (calon), tentunya dari BN. Anwar akan menang. (Tapi) apa yang menarik ialah margin.
Sama ada (undi) lebih besar dan lebih kecil dari apa yang beliau (Anwar) dapat pada masa lelpas," katanya ketika ditanya mengenai pandangan beliau berhubung calon yang mampu menentang Anwar pada pilihan raya tersebut.
Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan pada forum bertajuk "Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu" anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata jika Anwar memperolehi majoriti yang lebih besar, ia tidak bermakna bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu semakin popular dan mendapat sokongan rakyat.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri berkata ini menunjukkan bahawa BN khususnya Umno sudah semakin tidak diterima rakyat.
"Jika majoriti undi yang diperolehi Anwar kurang...Umno boleh terus ke depan (untuk kembali mendapat sokongan rakyat)," katanya.
Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak supaya beliau bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata: "Tak mungkin.
Saya telah berundur pada 2003 dan saya telah kata saya tidak akan datang semula. Tetapi saya punya hak sebagai warga untuk membuat ulasan mengenai negara saya".
Beliau berkata jika terdapat calon Bebas bertanding pada pilihan raya kecil itu, ia akan hanya memecahkan undi calon BN dan PKR.
"Terpulang siapa (calon Bebas) yang bertanding. Kalau dia daripada serpihan PAS, kemungkinan ia akan mengurangkan undi kepada Anwar...kalau dia bekas Umno, maka dia akan menambah kelebihan undi kepada Anwar.
Tetapi tidak ada kemungkinan calon Bebas ini akan menang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal sebagai Presiden Umno walaupun Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu Disember ini.
"Ku Li (Tengku Razaleigh) harus menilai sokongan ahli. Saya dapati cuma di peringkat rendah (akar umbi) yang menyokongnya. (Sebaliknya) Pak Lah mendapat sokongan daripada Ketua-Ketua Bahagian Umno sehingga mereka tidak boleh buka mulut sama sekali.
"Dulu mereka (Ketua Bahagian) yang pernah cabar Datuk Seri Abdullah, sekarang senyap...saya fikir susah (bagi Tengku Razaleigh untuk menang).
(Bagaimanapun) dalam parti Pak Lah akan menang tetapi dalam pilihan raya, dia akan kalah," katanya.
-- BERNAMA
Rumah Datuk Seri Shahrizat Dilontar Dua Bom Api - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Polis menemui dua bom api di kediaman Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Ahmad Bhari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan menerima laporan mengenainya pada pukul 7.10 pagi.
Katanya siasatan awal polis mendapati bom api itu dipercayai dilontar dari luar pagar rumah banglo Shahrizat oleh dua lelaki tidak dikenali dan jatuh di tempat letak kereta rumah itu pada kira-kira pukul 3 pagi ini.
"Pengawal keselamatan di rumah itu terdengar bunyi letupan kecil dan hasil pemeriksaan mendapati dua bom petrol itu dengan satu daripadanya pecah dan mengandungi sekeping nota. "Polis menemui kesan bakar yang kecil serta serpihan kaca," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini tanpa mengulas lanjut kandungan nota berkenaan.
Ketika kejadian Shahrizat dan anggota keluarganya sedang tidur. Tiada tangkapan yang dibuat setakat ini. Wan Ahmad Bhari berkata pengawal keselamatan rumah itu ternampak dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di depan rumah sebelum melontar sesuatu.
Ditanya sama ada kejadian itu adalah angkara dendam, Wan Ahmad berkata polis belum mengenalpasti motif sebenar dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi kesalahan perbuatan khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.
Adalah difahamkan rumah itu pernah didiami Pengerusi Majlis Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga, sebelum dijual kepada Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno itu pada 2005.
Sementara itu, seorang anggota keluarga Shahrizat, yang tidak mahu namanya disiarkan ketika ditemui pemberita di sini, mendakwa beliau percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum "Memeluk Islam" hari ini.
"Suspek mungkin sangka Ambiga masih tinggal di rumah ini dan oleh itu mereka baling bom. Shahrizat sudah tiga tahun beli rumah ini," katanya.