Saturday, August 9, 2008

Rumah Datuk Seri Shahrizat Dilontar Dua Bom Api - BERNAMA

09 Ogos, 2008 16:35 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Polis menemui dua bom api di kediaman Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Ahmad Bhari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan menerima laporan mengenainya pada pukul 7.10 pagi.

Katanya siasatan awal polis mendapati bom api itu dipercayai dilontar dari luar pagar rumah banglo Shahrizat oleh dua lelaki tidak dikenali dan jatuh di tempat letak kereta rumah itu pada kira-kira pukul 3 pagi ini.

"Pengawal keselamatan di rumah itu terdengar bunyi letupan kecil dan hasil pemeriksaan mendapati dua bom petrol itu dengan satu daripadanya pecah dan mengandungi sekeping nota. "Polis menemui kesan bakar yang kecil serta serpihan kaca," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini tanpa mengulas lanjut kandungan nota berkenaan.

Ketika kejadian Shahrizat dan anggota keluarganya sedang tidur. Tiada tangkapan yang dibuat setakat ini. Wan Ahmad Bhari berkata pengawal keselamatan rumah itu ternampak dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di depan rumah sebelum melontar sesuatu.

Ditanya sama ada kejadian itu adalah angkara dendam, Wan Ahmad berkata polis belum mengenalpasti motif sebenar dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi kesalahan perbuatan khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Adalah difahamkan rumah itu pernah didiami Pengerusi Majlis Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga, sebelum dijual kepada Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno itu pada 2005.

Sementara itu, seorang anggota keluarga Shahrizat, yang tidak mahu namanya disiarkan ketika ditemui pemberita di sini, mendakwa beliau percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum "Memeluk Islam" hari ini.

"Suspek mungkin sangka Ambiga masih tinggal di rumah ini dan oleh itu mereka baling bom. Shahrizat sudah tiga tahun beli rumah ini," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...