Saturday, May 31, 2008

GGL kena bayar balik kepada KBS: Ismail Sabri

Oleh Meor Hisham Zulkifli

Sabtu, 31 Mei 2008

'Berdasarkan kontrak, kita hanya bantu mereka dapatkan pengiktirafan'

KEYAKINAN disuarakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) betapa mereka berada pada pihak yang ‘menang’ dalam isu Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) dan mampu mendapatkan semula wang yang dilaburkan.



Bersenjatakan kontrak yang mensyaratkan promoter kejohanan, Gifted Group Limited (GGL) perlu mendapatkan pengiktirafan supaya kejohanan itu dapat dianjurkan, Menteri Belia dan Sukan, Ismail Sabri Yaakob (gambar), berkata KBS bukan pihak yang perlu dipersalahkan.

“Isunya di sini adalah pengiktirafan. Berdasarkan kontrak, kita hanya akan membantu mereka mendapatkan pengiktirafan itu tetapi bagaimana KBS membantu jika mereka tidak memohon pengiktirafan berkenaan daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

“Mungkin kita dapat balik wang yang sudah diberikan kerana KBS bukan pihak yang membatalkan kejohanan ini kecuali dalam menyatakan kejohanan tidak boleh dianjurkan andai CYC tidak dapat pengiktirafan,” katanya selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di Putrajaya semalam.

Isnin lalu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, tidak berganjak dengan pendirian tidak mengiktiraf CYC kerana mendakwa GGL membelakangkan badan induk sukan bola sepak itu sejak kejohanan berkenaan dilangsungkan tahun lalu.

Keputusan itu menimbulkan persoalan apakah kejohanan itu yang menyaksikan KBS melabur RM 17 juta setahun menerusi kontrak tiga tahun, berdepan situasi sukar dan mungkin terpaksa menghadapi tindakan perundangan promoter kejohanan.

KBS dikatakan sudah membayar RM8 juta kepada GGL untuk penganjuran kejohanan itu tahun ini, dan masih mempunyai baki RM9 juta yang belum dilunaskan.

Ismail Sabri berkata, KBS juga sudah mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Pejabat Peguam Negara bagi membincangkan perkara itu selain meminta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd Yasin Salleh, bertemu Pengerusi GGL, Jonathan Price.

“Kita mengatur pertemuan dengan GGL pada Selasa depan bagi mendengar penjelasan ekoran dakwaan menyatakan mereka sudah mendapat pengiktirafan Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) untuk menganjurkan kejohanan ini.

“Bagaimanapun, peraturan mensyaratkan, mana-mana kejohanan bola sepak di negara ini perlu mendapatkan pengiktirafan FAM sebelum Fifa boleh memberikan kelulusan mengenainya.

“Tanpa pengiktirafan FAM, kejohanan ini tidak boleh diadakan dan pemain serta pasukan yang bertanding tidak akan menyertai kejohanan kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh Fifa kerana beraksi dalam kejohanan yang tidak diiktiraf,” katanya.


petikan Berita Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...