Saturday, May 31, 2008

Tindakan Ezam seperti 'katak' - Mahathir

Harakahdaily
Sat | May 31, 08 | 7:01:18 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Mohamad Ezam Mohd Nor yang melompat masuk ke dalam Umno seperti 'katak'.

Beliau berkata tidak mustahil tindakan Mohamad Ezam keluar masuk parti akan berulang kerana beliau pernah keluar Umno dan menyertai KeADILan dan kini keluar KeADILan dan menganggotai Umno semula.

Dr Mahathir berkata demikian pada program Suntikan Semangat Satria di sebuah hotel, Petaling Jaya pagi tadi. Program itu antara lain menumpukan perkara berkaitan pembangunan semangat golongan Melayu selain permasalahan yang dihadapi Umno kini.

Program itu turut dihadiri Exco Pemuda Umno Dato' Sazmi Miah, anggota Parlimen Pasir Mas Dato' Ibrahim Ali dan bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dato' Ruhanie Ahmad.

Mengenai anaknya, Dato' Mukhriz, yang kini dilihat semakin lantang bersuara, Dr Mahathir berkata: "Kalau dahulu ahli politik boleh mengkritik, kenapa sekarang tidak boleh?"

Beliau juga enggan mengulas panjang kenyataan Menteri Belia dan Sukan Dato' Ismail Sabri Yaakob yang menggesa seorang lagi anaknya, Dato' Mokhzani supaya meletak jawatan sebagai pengerusi Sepang International Circuit (SIC).

"Kalau saya di tempatnya (Mokhzani), saya tidak akan meletak jawatan. Saya akan melepaskan jawatan sekiranya saya nak berbuat begitu, tanpa paksaan kerana saya lebih suka 'ditendang'," katanya. - mks.

Petikan Harakah Daily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...