Thursday, June 12, 2008

Anak temui mayat ibu

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

DENGKIL: “Bila buka pintu, saya nampak mak terlentang depan TV dengan kepalanya berdarah. Saya terkejut sebab takut sangat dan terus keluar panggil mak cik sebelah rumah,” kata Mohd Fikri Baharin, 10, anak sulung seorang wanita yang dipercayai dibunuh di rumahnya di Jalan Cempaka, Kampung Datuk Haji Ahmad Ghazali di sini, petang semalam.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Dengkil itu berkata, dia dihantar ayahnya, Baharin Khatin, 44, pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ibu tirinya di Kampung Sungai Buaya, Banting, Selangor.

“Ayah tak singgah rumah, cuma hantar saya tepi jalan. Bila sampai, pintu depan berkunci, jadi saya guna pintu belakang untuk masuk.

“Bila buka pintu, saya nampak mak terlentang dan kepalanya berdarah,” katanya sambil menangis ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Rosmawar Yazit, 35, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ditemui mati di ruang tamu rumahnya oleh anaknya, Mohd Fikri.

Mangsa baru bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah kerana suaminya, Baharin Khatin, 44, serta tiga anak mereka berusia empat hingga 10 tahun berada di Banting.

“Mangsa dipercayai baru keluar dari bilik air apabila dibunuh berdasarkan dia hanya berkemban ketika mayatnya dijumpai anaknya.

“Mangsa dipercayai dibunuh enam jam sebelum mayatnya ditemui anaknya,” katanya di sini, semalam.

Omar berkata, hasil siasatan tiada kesan pergelutan ditemui berlaku walaupun mangsa mengalami kecederaan di dahi.

“Bagaimanapun, keadaan rumah mangsa berselerak dan dipercayai suspek mencari sesuatu yang berharga berdasarkan tindakannya menyelongkar almari rumah mangsa,” katanya.

Ditanya sama ada terdapar kesan mangsa dirogol sebelum dibunuh, Omar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kemungkinan itu.

“Siasatan awal juga tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa.

“Kita juga belum mendapat maklumat mengenai bilangan suspek yang terbabit dalam kejadian,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Hanim Khatin, 37, berkata walaupun tinggal bersebelahan rumah mangsa, mereka sekeluarga tidak mendengar sebarang bunyi bising di rumah itu sejak malam kelmarin.

“Kali terakhir, saya jumpa dia petang semalam (kelmarin) kira-kira jam 6 petang. Malam tadi (semalam) pun, adik saya tidur agak lewat, tapi saya tak dengar bunyi bising atau melihat perkara luar biasa di rumahnya,” katanya.

Hanim berkata, dia terkejut apabila anak saudaranya memberitahu ternampak ibunya dengan kepala berdarah di ruang tamu.

“Ketika tiba di rumahnya, saya nampak kakak dalam keadaan telentang dan mukanya berdarah, selain sehelai kain membaluti kepalanya.

“Bagaimanapun, televisyen, kipas dan lampu masih terpasang,” katanya yang kemudian menghubungi polis.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Harian Metro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...