Thursday, June 12, 2008

Portugal ke suku akhir

GENEVA – Portugal menjadi pasukan pertama melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah (Euro 2008) selepas menundukkan Republik Czech 3-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, hari ini.

Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menyumbangkan satu gol dan mencipta gerakan untuk dua lagi gol bagi memastikan kemenangan berharga buat pasukannya.

Meskipun Deco membuka jaringan Portugal, namun gol pada minit kelapan itu berpunca dari percubaan Ronaldo.

Rembatan Ronaldo yang menerima hantaran Nuno Gomes berjaya ditepis penjaga gol Czech, Petr Cech tetapi bola jatuh tepat ke kaki Deco yang hanya perlu menolaknya ke gawang.

Czech bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas Libor Sionko menanduk cantik sepakan sudut yang diambil oleh Jaroslav Plasil pada minit ke-17.

Gol penyamaan itu menjadikan perlawanan bertambah rancak, yang mana Portugal dan Czech saling meningkatkan serangan.

Ronaldo hampir menambah jaringan kedua Portugal pada minit ke-42, namun rembatan cantiknya berjaya ditepis oleh Cech.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik separuh masa kedua bermula, namun 10 minit pertama permainan bagaikan dikuasai oleh Portugal yang mencipta banyak percubaan.

Pada minit ke-53, Gomes hampir meletakkan Portugal di depan dengan melakukan rembatan dari dalam kotak penalti, namun ketangkasan Cech berjaya menyelamatkan keadaan.

Selepas diasak beberapa kali, benteng pertahanan Czech akhirnya roboh lagi pada minit ke-63, kali ini Ronaldo menyambut hantaran Deco dan melepaskan rembatan yang tidak terjawab oleh Cech.

Ketinggalan 2-1 mendorong Czech menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan penyerang tinggi lampai, Jan Koller dibawa masuk pada minit ke-73 bagi menambah sengat jentera serangan.

Kemasukan Koller menukar rentak permainan, Milan Barros hampir memberi gol penyamaan di minit ke-83, tetapi tandukannya ditepis keluar oleh penjaga gol Portugal, Ricardo.

Pada minit ke-83, Sionko sekali lagi menanduk sepakan sudut Plosil, namun kali ini Ricardo sudah lebih bersedia dengan menepis bola yang sedikit melepasi palang pintu gol.

Dalam keghairahan mencari gol penyamaan, Czech membuat kesilapan dengan membiarkan benteng pertahanan mereka terbuka, akibatnya Ronaldo yang langsung tidak terkawal membuat larian solo dan hanya berdepan satu sama satu dengan Cech.

Namun, bintang Manchester United nyata tidak bersikap tamak apabila menghantar bola kepada Ricardo Quaresma yang hanya perlu melakukan sedikit tolakan untuk gol ketiga Portugal, seminit memasuki masa tambahan.

Kemenangan ini membolehkan Portugal, naib juara 2004 menjadi pasukan pertama mara ke suku akhir, sekali gus menjadi antara pilihan untuk membawa pulang kejuaraan kali ini.

Bagi Czech, mereka tiada pilihan lain kecuali menang ke atas Turki dalam perlawanan terakhir, Isnin ini untuk menghidupkan peluang, sementara Portugal akan melengkapkan jadual Kumpulan A dengan bertemu tuan rumah, Switzerland.

Utusan Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...