Sunday, June 15, 2008

Belanda hukum Perancis

BERNE, Austria - Belanda melangkah ke suku akhir Euro 2008 dengan penuh bergaya selepas membenam Perancis 4-1 semalam, meletakkan nasib naib juara dunia itu kini ibarat telur di hujung tanduk.

Keputusan menakjubkan itu hadir empat hari selepas Belanda menumpaskan juara dunia, Itali 3-0, sekali gus menjulang skuad bimbingan Marco van Basten itu menjuarai Kumpulan C pada ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.

Belanda kini menjadi pasukan ketika selepas Portugal (Kumpulan A) dan Croatia (Kumpulan B) menempah tiket awal ke suku akhir.

Semalam, taktik serangan balas menjadi percaturan Van Basten dan kepantasan yang dimiliki pemain Oranje memudahkan strategi jurulatih itu diterjemahkan.

Dirk Kuyt, Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder menjadi penyumbang gol Belanda, sekali gus menenggelamkan gol tunggal Perancis yang dijaringkan Thierry Henry.

Ini adalah kekalahan terbesar Perancis pada pusingan akhir kejohanan utama sejak kalah 2-5 kepada Brazil pada Piala Dunia 1958.

Malah, ia kekalahan terbesar skuad Les Bleus itu di peringkat antarabangsa sejak diaibkan 4-0 oleh Poland dalam perlawanan persahabatan pada 1982. Belanda kini mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan, empat mata di depan Romania, manakala Perancis dan Itali berkongsi satu mata.

Pasukan itu akan melengkapkan jadual Kumpulan C menentang Romania, Rabu ini tanpa perlu resah mengenai keputusan perlawanan kerana ia tidak akan menjejaskan kedudukan mereka selaku juara kumpulan.

"Tiada yang lebih menggembirakan daripada berjaya menumbangkan dua finalis Piala Dunia pada minggu yang sama.

"Kami bermula baik, biarpun seketika membenarkan Perancis memberi tekanan membawa ke penghujung babak pertama.

"Pada separuh masa kedua, kami menjadi pasukan yang amat berbahaya biarpun Perancis terus memberi tekanan. Arjen Robben dan Robin Van Persie (pemain gantian) merubah permainan kami,'' kata Van Basten.

Penjaring terbanyak Perancis, Henry menghidupkan kembali harapan pasukannya dengan merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-71 selepas menguis hantaran Willy Sagnol untuk jaringan antarabangsanya yang ke-101.

Bagaimanapun kegembiraan itu hanya bertahan 30 saat apabila Robben menyumbat gol ketiga Belanda dari sudut sukar, sebelum Sneijder melengkapkan gol keempat, dua minit memasuki masa kecederaan.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...