Sunday, June 15, 2008

Pos Malaysia Bayar RM27.6 Juta Rebat Tunai Pada Hari Kedua

15 Jun, 2008 20:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd (PMB) mengeluarkan bayaran RM27.6 juta kepada 59,154 pemilik kenderaan persendirian yang layak pada hari kedua pembayaran rebat petrol di seluruh negara hari ini.

PMB dalam satu kenyataan hari ini berkata sistemnya terus beroperasi pada tahap yang diingini bagi membolehkan traksaksi yang efisien.

Katanya pelanggan boleh memuat turun borang tuntutan secara percuma menerusi laman web PMB www.pos.com.my dan menyerahkan terus borang di kaunter untuk menuntut rebat dalam bentuk tunai.

"Pelanggan yang layak yang memiliki Kad Pengenalan Sementara dan ingin menuntut rebat di pejabat pos dikehendaki membawa bersama kad berkenaan untuk tujuan pengesahan dan tempoh memproses di kaunter akan mengambil lebih daripada tiga minit berbanding proses transaksi biasa," kata kenyataan itu.

PMB turut menasihati pelanggan supaya menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di talian hotline 03-8886 6427 atau 03-8888 4244 sekiranya mereka menghadapi masalah berkaitan dengan data mereka dalam pangkalan data JPJ.

"PMB akan mengakses pangkalan data JPJ sebelum memberi respon kepada permohonan pelanggan untuk mendapatkan rebat tunai bagi mengesahkan kelayakan mereka.

"PMB ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami kerana kesabaran dan kerjasama mereka dalam memastikan tansaksi pengeluaran pembayaran rebat tunai yang lancar serta berkesan," kata kenyataan itu.

PMB turut mengingatkan pemilik kenderaan persendirian yang layak bahawa jika mereka tidak dapat menuntut rebat tunai hari ini, mereka masih mempunyai masa yang cukup untuk membuat tuntutan itu pada bila-bila masa sehingga 31 Mac, 2009.

Orang ramai juga boleh mengemukakan pertanyaan atau maklum balas dan mendapatkan maklumat terbaru mengenai perkhidmatan PMB menerusi Pusat Khidmat Pelanggannya di PosLine 1-300-300-300 atau laman web PMB atau mana-mana pejabat pos berhampiran.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...