Sunday, June 15, 2008

Samy Vellu Tolak Bergabung Dengan IPF

15 Jun, 2008 19:55 PM

PETALING JAYA, 15 Jun (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menolak penggabungan dengan Barisan Progresif India (IPF), dengan mengatakan beliau sebaliknya mahu kedua-dua parti bekerjasama ke arah mencapai matlamat bersama.

Bercakap pada majlis anjuran IPF bagi memberi penghormatan kepada mendiang Presiden IPF Tan Sri M.G. Pandithan, beliau berpendapat IPF tidak seharusnya bergabung dengan MIC tetapi menyokong MIC dalam usahanya untuk mempertingkatkan status masyarakat India.

"Saya selalu bercakap bahawa IPF tidak perlu bergabung (dengan MIC) kerana kami mahu ia kekal sebagai sebuah parti politik dan melaksanakan aspirasi serta impian Tan Sri Pandithan," katanya.

Cakap-cakap mengenai penggabungan MIC-IPF muncul selepas Pandithan dan Samy Vellu mengetepikan perselisihan pendapat mereka yang berlarutan selama 20 tahun dan berikrar untuk bekerjasama lebih setahun yang lepas.

Samy Vellu memberitahu Pandithan ketika itu bahawa MIC bersedia untuk memberi ruang kepada anggota IPF ke dalam parti itu tetapi tidak sehingga untuk bergabung.

Saya nampak banyak manfaat untuk kita semua menerusi kerjasama dan persefahaman bersama," katanya sambil menambah beliau sedar bahawa banyak anggota IPF belum bersedia untuk bergabung dengan MIC.

Samy Vellu merakamkan penghargaan kepada Pandithan sebagai seorang pemimpin yang lantang dan berdedikasi dalam memperjuangkan hak masyarakat India di negara ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden IPF V. Senggutuan berharap impian Pandithan untuk IPF menjadi parti komponen Barisan Nasional akan menjadi kenyataan.

Beliau berkata IPF akan meneruskan kerjasamanya dengan MIC dalam perkara yang membabitkan kepentingan masyarakat India.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...