Sunday, June 22, 2008

Fairuzizuan-Mohd. Zakry rangkul kejuaraan kedua berturut-turut

22/06/2008 10:11pm


Zakry (belakang) dan Fairuzizuan gembira memenangi juara bergu lelaki badminton Terbuka Indonesia di Jakarta hari ini


KUALA LUMPUR 22 Jun – Beregu negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif merangkul kejuaraan Siri Super kedua berturut-turut selepas muncul juara badminton Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Pasangan nombor tiga negara itu menundukkan bekas juara dunia dan juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan dari Indonesia/Amerika Syarikat, 19-21, 21-18, 21-14.

Walaupun lawan menerima sorakan dan sokongan padu penyokong tempatan di Stadium Istora Senayan, Jakarta, namun ia tidak melemahkan Fairuzizuan-Zakry untuk merangkul kemenangan dalam masa 53 minit.

Ini merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat pasangan muda negara itu selepas muncul juara Terbuka Singapura, minggu lalu.

Malah, ia juga memperbaiki pencapaian mereka yang hanya mampu muncul naib juara kejohanan tahun lalu selepas kalah kepada pasangan utama China, Fu Haifung-Cai Yun.

Walaupun tumpas pada set pertama, beregu negara itu berjaya bangkit untuk menang set kedua dan seterusnya membuktikan mereka berupaya untuk mengekang gegak gempita laungan penyokong tuan rumah.

Dalam perlawanan perseorangan pula jaguh tuan rumah, Sony Dwi Kuncoro mengalahkan rakan senegara, Simon Santoso 19-21, 21-14, 21-9.

utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...