Sunday, June 22, 2008

Remaja lari sekatan polis maut dirempuh kereta

22/06/2008 5:48pm

KUALA LUMPUR 22 Jun – Tindakan nekad seorang remaja melarikan diri daripada sekatan polis membawa padah apabila dia maut setelah motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta BMW di Lebuh Raya Sprint di Kilometer 2.7 menghala ke pusat bandar dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 pagi itu, mangsa Hafisuddin Wahid, 22, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikalnya melalui arah bertentangan sebelum membuat pusingan U selepas menyedari sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, motosikal mangsa bertembung dengan kereta BMW terbabit yang datang dari arah Damansara ke Kuala Lumpur.

“Akibat pertembungan itu, mangsa diseret kira-kira 20 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.- Utusan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...