Sunday, June 22, 2008

Sistem dua pam bezakan harga petrol rakyat asing dan tempatan

22/06/2008 5:09pm

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan bersetuju melaksanakan cadangan sistem dua pam di stesen minyak di kawasan sempadan bagi memastikan warga asing tidak membeli minyak dengan kadar subsidi seperti yang dinikmati rakyat tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata berdasarkan sistem itu, satu pam akan dikhaskan untuk pembelian oleh rakyat tempatan dengan harga pada kadar subsidi dan satu pam lagi untuk rakyat asing, di mana petrol akan dijual berdasarkan harga pasaran semasa.

“Ikut sistem ini, ada dua kebaikan iaitu rakyat asing akan membayar harga petrol berdasarkan harga pasaran dan rakyat Malaysia akan tahu harga pasaran petrol yang sebenarnya,” kata Najib.

Cadangan itu berdasarkan saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas mengenai penstrukturan semula subsidi kepada anggota Parlimen dan Senator Barisan Nasional di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Shahrir berkata perkara itu dijangka dapat dilaksanakan secepat mungkin berdasarkan reaksi positif pengusaha stesen minyak yang bersetuju menguruskan perubahan kepada sistem dua pam itu. – BERNAMA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...