Saturday, June 7, 2008

Lim Keng Yaik kini bergelar 'Tun'

Oleh Bernama
Sabtu, 07 Jun 2008

KL: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Penasihat Parti Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dianugerahi geralan "Tun" sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Abdul Hamid, 56, Ahmad Sarji, 69, dan Lim, 69, yang menerima anugerah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), mendahului senarai 1,862 orang penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan.

Jaguh skuasy dunia Nicol Ann David, 24, pula mendapat penghormatan sebagai penerima pertama Darjah Bakti (DB), anugerah yang diwujudkan 33 tahun lepas dan dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang masyhur namanya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Darjah itu dihadkan kepada 10 penerima, iaitu mereka yang memberi sumbangan cemerlang dalam kemajuan seni, sains dan kemanusiaan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, 64, menerima anugerah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran "Tan Sri".

Seramai 30 orang menerima Panglima Setia Mahkota (PSM) juga bergelar "Tan Sri".

Mereka ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Abdul Rahman Mamat, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Sulaiman Mahbob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) JPM Datuk Mazidah Abdul Majid.

Imam Besar Masjid Negara Datuk Syaikh Ismail Muhamad, bekas Ketua Pengarah/Hakim Mahkamah Syarie Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amirsham A.Aziz.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Lejadi Holdings Sdn Bhd Datuk Dr Lim Ewe Jin, Timbalan Pengerusi Eksekutif RAM Holdings Berhad Datuk Rajandram Chellapah, Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Datuk Seri Tay Ah Lek, Pengerusi Penerbangan Malaysia Datuk Dr Mohd Munir Abdul Majid, Pengerusi Syarikat Tradewinds Corporation Bhd Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas.

Ahli sejarah dan Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, bekas pemimpin Okestra RTM Datuk Ahmad Othman Merican, Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Gadang Holdings Bhd Datuk Kok Onn, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tomei Consolidated Bhd Datuk Ng Teck Fong, Pengerusi Tenggara Oil Bhd Datuk Dr Kamal Mat Salih, Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Bhd Datuk Azman Mokhtar.

Ketua Biskop Katolik Datuk Murphy Nicholas Xavier Pakiam, Datuk Prince Guneratnam a/l S.E. Guneratnam, Pengarah Urusan Melati Ehsan Holdings Bhd Datuk Yap Suan Chee, bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Marsyal Udara (B) Datuk Sulaiman Sujak, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar.

Penasihat Kewangan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Chua Ma Yu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy, Pengerusi Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan, dan Pengerusi Barisan Nasional Kelantan Datuk Seri Annuar Musa.

Seramai 51 orang menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran "Datuk" dan dua menerima Panglima Setia Di Raja (PSD) juga bergelar "Datuk".

Antara penerima PJN ialah Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Nor, Presiden Persatuan Sikh Malaysia Dr Jasbir Singh, Timbalan Pengerusi Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Datuk Hishamuddin Aun, Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak, Billy Abit Joo dan Pesuruhjaya Suhakam Prof Dr Chiam Heng Keng.

Selain itu, 21 orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 91 Johan Setia Mahkota, seorang Johan Setia Di Raja, 306 Kesatria Mangku Negara, sembilan Kesatria Setia Di Raja, 559 Ahli Mangku Negara, 764 Pingat Pangkuan Negara dan 23 Bentara Setia Di Raja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...