Saturday, June 7, 2008

Keputusan Sanusi tidak boleh dipertikai - Khaled

SHAH ALAM 6 Jun - Tiada pihak yang boleh mempertikaikan hak Presiden, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid untuk tidak meletak jawatannya walaupun beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan memecat atau melantik Presiden UIAM terletak di bawah kuasa Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Apa yang Sanusi kata itu betul, hanya Ketua Perlembagaan berkuasa memberhentikan atau melantik Presiden UIAM, bukan menteri.

"Dalam Perlembagaan UAIM tidak ada menyatakan menteri atau orang tertentu sahaja boleh yang boleh dilantik sebagai Presiden. Kuasa ini terletak pada Ketua Perlembagaan," katanya ketika ditemui di akhir pemukiman Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Semalam, Sanusi menyatakan beliau tidak akan meletak jawatan dan terus memegang jawatan Presiden UIAM sehingga tamat tempoh pada 2010, walaupun ada tekanan daripada pelbagai pihak.

Sanusi dilaporkan berkata, mengikut Perlembagaan UIAM Bahagian IV(20)(iii), Presiden boleh menulis surat kepada Ketua Perlembagaan untuk meletak jawatan atau jawatannya boleh ditamatkan oleh Ketua Perlembagaan atas nasihat Perdana Menteri.

Sanusi berkata, beliau percaya tidak akan dipecat kerana mempunyai hubungan baik dengan Sultan Pahang kecuali dinasihatkan oleh Host Member iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kedudukan Sanusi sebagai Presiden UIAM diperkatakan ekoran keputusan beliau menyertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yakin tidak ada pihak yang membuat desakan meminta Sanusi meletak jawatan sebaliknya bekas Menteri Besar Kedah itu sengaja mengada-adakan cerita untuk mencari publisiti.

"Tidak ada orang desak dia letak jawatan, dia sahaja buat sensasi untuk tarik perhatian orang," katanya.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...