Wednesday, June 18, 2008

Mahkamah Pilihan Raya Isytihar Kerusi Dun Sanglang Kosong

18 Jun, 2008 15:37 PM

KANGAR, 18 Jun (Bernama) -- Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sanglang yang dimenangi Abdullah Hassan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lepas, dikosongkan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani selepas menolak petisyen calon PAS, Hashim Jasin yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di kawasan DUN itu pada pilihan raya umum ke-12 itu.

Dalam alasan penghakimannya, Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003.

Mahkamah bagaimanapun meyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Pada 24 April lalu, Hashim memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-12 bagi kerusi DUN Sanglang dengan alasan beliau patut memenangi pilihan raya umum itu.

Hashim menamakan Abdullah, pegawai pengurusan pilihan raya bagi Parlimen Arau, Muhamad Daud Abdull Hamid dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Abdullah menang dengan majoriti 149 undi setelah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim memperoleh 3,235 undi.

Dalam petisyennya itu Hashim mendakwa, responden kedua dan ketiga telah melakukan kesilapan kerana mengisytiharkan Abdullah sebagai pemenang kerusi DUN itu.

Hashim mendakwa keputusan itu bercanggah dengan fakta pada Borang 14 penyata kiraan undi yang menunjukkan beliau menang dengan majoriti 47 undi selepas mendapat 3,333 undi berbanding 3,286 undi yang diterima oleh Abdullah.

Sebelum ini, Abdullah dalam bantahannya terhadap petisyen itu memohon mahkamah memerintahkan pilihan raya kecil diadakan bagi menyelesaikan perkara itu.

Abdullah diwakili peguam K. Jegathesan manakala Hashim diwakili Mohamad Ariff Yusof.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...