Wednesday, June 18, 2008

PLUS sedia bincang kaji semula kadar tol dengan kerajaan

18/06/2008 5:29pm

KUALA LUMPUR 18 Jun — Pemegang konsesi lebuh raya, PLUS Expressways Bhd bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung rancangan untuk mengkaji semula perjanjian konsesi dengan kemungkinan mengurangkan kadar tol, kata pengarah urusannya Noorizah Abd Hamid hari ini.

Beliau berkata PLUS telah menyediakan semua maklumat yang diminta kerajaan.

“Tetapi kami belum terlibat dalam sebarang perbincangan rasmi dengan kerajaan mengenai perkara itu lagi. Kami tidak tahu bagaimana kajian semula itu nanti,” kata beliau kepda pemberita selepas pertemuan dengan pemegang saham syarikat di sini.

Pengerusi PLUS Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata berdasarkan kepada apa yang dilakukan sebelum ini, kerajaan sentiasa jujur dengan perjanjian konsesi.

“Saya percaya mereka akan terus berbuat demikian,” kata beliau.

Mohd Sheriff berkata mengikut perjanjian sedia ada, syarikat pemegang konsesi dibenarkan menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun.

Kali terakhir kadar tol dinaikkan ialah pada 2005 tetapi pada Januari 2008 apabila tarikh kenaikan berikutnya tiba, kerajaan memutuskan untuk menundakannya, kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata sejajar dengan perjanjian konsesi, kerajaan bersetuju untuk membayar gantirugi dan sebahagian daripadanya telah dibayar.

Noorizah berkata gantirugi berkenaan berdasarkan kepada perbezaan dalam kadar yang PLUS sepatutnya dibenarkan menaikkannya dengan kadar yang dikenakan syarikat sekarang, didarabkan dengan jumlah trafik sebenar.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamad berkata kerajaan mengkaji semula perjanjian dengan syarikat pemegang konsesi dengan kemungkinan mengurangkan kadar tol.

Beliau berkata kadar tol lebuh raya boleh dikurangkan tetapi bergantung kepada hasil kajian mengenai konsesi lebuh raya yang dijalankan oleh kementeriannya.

— BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...