Tuesday, July 1, 2008

Bekas Ketua Pemuda MIC diseru sertai Kelab Penyokong PAS

Anis Nazri
Tue | Jul 01, 08 | 11:25:11 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Bekas Ketua Pemuda MIC, S. A Vigneswaran diseru menyertai Kelab Penyokong PAS bagi sama-sama berganding bahu berjuang demi keadilan semua kaum.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, PAS mengalu-alukan kehadiran Vigneswaran dan para pengikutnya untuk bersama menyertai Kelab Penyokong PAS di semua peringkat.

Seruan itu dibuat memandangkan sebahagian pemimpin MIC dan ahli-ahlinya menyatakan bahawa nasib kaum itu tidak akan terbela jika masih di bawah kepimpinan Presidennya, Dato' Seri Samy Vellu.

Vigneswaran dikatakan bertindak keluar parti setelah diarahkan supaya melepaskan jawatan oleh Samy, dengan alasan sudah melebihi umur 40 tahun.

Beliau yang kecewa dengan tindakan Samy itu mempertikaikan bahawa arahan yang dikeluarkan Samy itu tidak menepati perlembagaan parti, tetapi lebih kepada kehendak Samy sendiri.

Berikutan pengunduran Vigneswaran itu, beberapa Pemuda MIC turut mengambil langkah sama seperti Vigneswaran, iaitu Ketua Pemuda MIC Kedah, R Nantha Kumar; Setiausahanya, T M Ganesan; Bendahari, M Selvan dan Ketua Penerangan, S Somasunther.

"Saya percaya bahawa ramai lagi pemimpin dan ahli MIC sudah mula berkira-kira untuk meninggalkan parti yang mewakili kaum India ini kerana mereka sudah bosan dengan pergolakan dalaman, di samping menolak kepimpinan Samy," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau menambah, dengan perkembangan ini beliau yakin bahawa semakin ramai ahli MIC, khusus di kalangan pemudanya akan mengambil keputusan untuk menamatkan keahlian mereka di dalam parti terbabit.

Justeru, Khairul menggesa Vigneswaran serta para penyokongnya umtuk menyertai Kelab Penyokong PAS bagi sama-sama menegakkan keadilan semua kaum di negara ini. - mns _

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...