Tuesday, July 1, 2008

Kes Batu Puteh: RM233,041 Dibayar Kepada Setiap Lima Pakar Perundangan

01 Julai, 2008 19:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Purata jumlah bayaran kepada lima orang pakar perundangan antarabangsa bagi membantu Malaysia mempertahankan kedaulatan Batu Puteh dalam kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk tempoh setahun berjumlah RM233,041, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mereka dilantik untuk membantu persediaan Malaysia ke ICJ serta memberikan nasihat perundangan dan juga bimbingan bagi kerja penyelidikan berhubung kes itu.

"Mereka dibayar dengan bayaran yang setimpal dengan kepakaran mereka menurut amalan biasa mana-mana negara yang melantik pakar-pakar perundangan sebegini dan tiada bayaran tetap dikenakan setiap bulan.

"Dalam hal ini apa yang lebih penting ialah kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh panel penasihat antarabangsa ini dalam mempertahankan kes Malaysia di ICJ," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju). Rais berkata panel lima pakar perundangan antarabangsa itu terdiri Prof Sir Elihu Lauterpacht dan Prof Datuk James Crawford, masing-masing pensyarah Undang-undang Antarabangsa di Cambridge University; Prof Datuk Nicolaas Jan Schrijver, pensyarah Undang-undang Awam Antarabangsa di Leiden University; Prof Marcelo G. Kohen, pensyarah Undang-undang Antarabangsa di Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah di Downing College, Cambridge University.

Delegasi Malaysia diketuai Penasihat Perdana Menteri Bagi Hal Ehwal Luar, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, yang menjadi ejen Malaysia dalam kes itu bersama dengan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin.

Pasukan perundangan Malaysia diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam perbicaraan kes yang berlangsung dari 6 hingga 23 Nov tahun lepas.

Dalam keputusannya, ICJ mendapati Malaysia tiada hak terhadap Batu Puteh ekoran daripada sejarah lampau apabila pihak berkuasa Johor dan kemudian Malaysia dikatakan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Batu Puteh dari Jun 1850 sehingga hampir satu abad kemudian.

Bagaimanapun mahkamah itu mengekalkan hak milik dan kedaulatan Malaysia bagi Terumbu Karang Tengah.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...