Tuesday, July 1, 2008

Kerajaan tidak bercadang minta AirAsia beroperasi di Subang

01/07/2008 2:48pm

KUALA LUMPUR 1 Julai — Kerajaan tidak bercadang untuk meminta syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd untuk beroperasi di Subang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Katanya keputusan itu telah dibuat kerana kerajaan telah menaik taraf Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang untuk menampung keperluan syarikat penerbangan itu.

Sebanyak RM124 juta telah diperuntukkan untuk kerja menaik taraf LCCT untuk memberikan keselesaan kepada penumpang yang menggunakan terminal itu, katanya.

“Kerajaan atau pun kementerian saya tidak bercadang untuk meminta Airsia kembali ke Subang kerana ini adalah keputusan yang telah dibuat sebab kita telah pun menaik taraf LCCT yang ada di KLIA untuk menampung keperluan Airasia,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pertanyaan soalan tambahan Razali Ibrahim (BN-Muar) yang meminta penjelasan mengenai kedudukan sebenar ura-ura untuk dikembalikan operasi LCCT ke Subang.

Lajim menjelaskan kerja menaik taraf LCCT telah bermula April tahun lalu dan dijangka siap hujung tahun ini.

Mengenai pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) tentang kedudukan

“perang menarik langganan” antara Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia, beliau menjelaskan “perang menarik langganan” itu merupakan satu persaingan yang sihat kerana persaingan itu mendatangkan faedah kepada para penumpang.

Katanya para penumpang kini mempunyai lebih banyak pilihan dan peluang dalam memilih pelan perjalanan yang mampu mereka nikmati.

— BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...