Sunday, July 27, 2008

Caturan bentuk regu menjelang pemilihan MCA

27-07-2008 08:08:44 PM

KUALA LUMPUR: Sejak mengumumkan hasratnya bertanding bagi jawatan presiden MCA, naib presiden parti itu, yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, kekal dengan pendirian untuk tidak membentuk sebarang pasukan bagi menghadapi pencabar beliau.

Walaupun anggota MCA dan beberapa pemerhati meramalkan bahawa pemilihan parti itu, yang dijadualkan berlangsung Oktober ini, mencerminkan perebutan jawatan antara
Team A dan Team B semasa yang wujud ketika krisis kepimpinan parti itu pada 2003, namun persoalannya sekarang ialah sejauh manakah peluang bagi Tee Keat untuk memenangi jawatan berkenaan dengan bertanding secara solo.

Seorang anggota lama parti dan beberapa anggota MCA lain berpendapat Tee Keat perlu mempunyai kumpulan dan bertanding secara solo tidak memberi banyak harapan bagi beliau kerana ranjau yang perlu dihadapi amat menyeksakan.

Pencabar beliau dikatakan telah menghimpunkan "sekumpulan calon hebat", yang disokong beberapa pemimpin berpengaruh, termasuk bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Ling bagaimanapun menafikan beliau membentuk sebuah pasukan bagi menghadapi pemilihan itu, tetapi mengaku beliau ada berbincang dengan beberapa pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai "hanya satu perbualan biasa".

Kumpulan itu dikatakan dianggotai saki baki anggota Team A sewaktu krisis kepimpinan MCA dulu, yang memaksa Ling mengundurkan diri daripada politik melalui pelan damai yang disyorkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tokoh yang dikatakan menganggotai pasukan itu ialah bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Naib-naib Presiden, Datuk Donald Lim dan Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn; Ketua Wanita MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen dan dua anak lelaki, Dr. Ling Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

"Nampaknya Soi Lek akan berentap dengan Tee Keat, dengan mendapat sokongan penuh daripada pasukan itu.

"Jika ini terjadi, macam mana Tee Keat nak bertanding jika beliau tidak ada kumpulan," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.

Semasa bercakap dengan Bernama baru-baru ini, Dr. Chua tidak menafikan wujudnya kumpulan itu dan berkata, beliau bercadang untuk kembali semula serta mempunyai pasukan yang akan membantunya dalam pertandingan itu nanti.

"Mungkin saya telah bersara secara diam-diam daripada politik kalaulah bukan kerana keadaan yang berlaku selepas saya mengaku bahawa sayalah orang dalam VCD berkenaan. Mereka layan saya macam pariah.

"Kalaulah mereka layan secara lebih beradab, mungkin saya telah bersara secara terhormat dan tidak lagi berhasrat untuk kembali aktif dalam politik," katanya.

Walaupun Dr. Chua tetap membisu tentang jawatan yang akan beliau tandingi, namun pemimpin ini tidak menafikan bahawa beberapa pemimpin MCA serta ahli politik senior dan veteran parti itu akan memberi sokongan jika beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti.

"Sesetengah orang masih berpendapat saya mempunyai pengalaman. Saya ahli politik yang berterus terang. Mereka berpendapat saya memiliki keberanian bagi menyuarakan isu yang melibatkan mereka," katanya.

Anggota dan orang dalam MCA meramalkan Dr. Chua akan bertanding bagi jawatan Presiden dengan memilih Donald Lim sebagai regunya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dan Fong serta Dr Ng sebagai regu bagi merebut jawatan Naib Presiden.

Beberapa penyokong Tee Keat berkata, mereka tidak nampak wujud sebarang masalah sekiranya Menteri Pengangkutan itu ingin bertanding secara solo.

"Kenapa tidak? Selama ini pun, apa yang dipanggil `cai tan' (senarai calon), lebih bertujuan bagi menampilkan kepentingan sesuatu pasukan... ia bukan kerjasama secara berpasukan dalam erti kata sebenar.

"Demi kebaikan masyarakat Cina, kenapa tidak? Kalau seseorang itu bekerja atas dasar kerjasama berpasukan dalam erti kata sebenarnya, ia tak jadi masalah," kata bekas senator Tan Boon Yu.

Bagaimanapun, penyokong lain agak cemas apabila berdepan dengan keputusan Tee Keat untuk bertanding secara solo dengan berkata dalam politik sebenar, pendekatan "ala lone ranger" tidak wajar diamalkan.

Mereka menjadi lebih gusar apabila memikirkan tentang kemungkinan Tee Keat akan berdepan dengan sebuah pasukan kuat, yang memiliki kehebatan daripada segi politik dan sumber kewangan.

"Saya telah menasihati beliau supaya mengkaji semula pendekatan itu. Sekurang-kurangnya, beliau perlu mempunyai sekumpulan penyokong untuk membantu beliau," kata pengerusi MCA Bahagian Pandan Eric Ong, penyokong kuat Tee Keat.

Seorang individu yang merupakan orang dalam MCA berkata, Tee Keat perlu melihat kembali keputusan pemilihan parti pada 2005.

"Pada 2005, Tee Keat menduduki tempat ketiga dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden, di belakang Fong dan Dr. Chua. Itu pun setelah mendapat sokongan daripada Pergerakan Pemuda.

"Memanglah, apabila beliau bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda MCA pada 1999, beliau melakukannya secara solo dan menang. Tapi sekarang, beliau perlu berfikir dengan mendalam jika ingin bertanding bagi jawatan Presiden," katanya.

Bekas Naib Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai, yang pernah menjadi mentor politik Tee Keat, meragui hasrat Tee Keat untuk bertanding secara solo bagi merebut jawatan presiden MCA.

Beliau berkata, bertanding secara solo hanya merupakan cara Tee Keat untuk menyatakan bahawa beliau tidak mahu mewujudkan kumpulan dalam MCA.

"Kadang-kadang, orang tak perlu beritahu anda bahawa anda adalah rakannya. Ada masanya, bahasa tubuh mereka akan menerangkan perkara itu kepada anda.

"Mempunyai pasukan bukan perkara yang tidak baik. Apa yang kami tak mahu lihat ialah wujudnya keadaan berpuak-puak. Saya tidak fikir beliau (Tee Keat) akan berjuang secara berseorangan dan memberitahu orang lain supaya jangan menghalangnya, kerana jika anda buat begitu, anda sebenarnya menuju ke lubang kubur.
"Kalau ada orang memberi sokongan, beliau akan cuba mengelak wujudnya andaian bahawa beliau membentuk suatu puak. Itu memang gaya beliau," kata Lee kepada Bernama.

Tee Keat pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Lee ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kesihatan pada 1990an.

Tetapi, sekiranya Tee Keat membuat keputusan untuk mempunyai regu, soalan seterusnya ialah siapakah yang akan beliau pilih?

Ketua Pemuda MCA, yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai seolah-olah menjawab soalan ini apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding bagi jawatan nombor satu parti, sebaliknya akan menyokong Tee Keat merebut jawatan Presiden.

"Saya mengagak beliaulah yang menjadi regu Tee Keat berdasarkan manifesto pemilihan," kata seorang anggota MCA yang enggan dikenali.

"Bagaimanapun, langkah paling selamat bagi Liow ialah bertanding bagi jawatan Naib Presiden. Tapi, siapa lagi yang akan menjadi regu Tee Keat kalau bukan Liow?" tanya seorang pemimpin bahagian.

Sesetengah anggota MCA percaya Liow mengambil langkah yang berisko tinggi sekiranya beliau bertanding bagi jawatan Naib Presiden kerana terdapat "pihak berkepentingan" yang ingin mengalahkan beliau bagi mengambil alih jawatan menteri yang beliau sandang.

Seorang pemimpin peringkat akar umbi dari Perak berkata, beliau percaya Tee Keat tidak mungkin memilih Datuk Ong Ka Chuan, abang kepada Presiden MCA Datuk Seri
Ong Ka Ting sebagai regunya kerana penyokong tegarnya dikatakan menasihati beliau supaya tidak berbuat demikian.

Ketika Tee Keat bergelut dengan persoalan siapakah yang patut beliau pilih sebagai regunya sekiranya beliau ingin berbuat demikian, pemerhati politik sudah menemui jawapan tentang ke manakah arah tuju seorang lagi bekas Naib Presiden, MCA Datuk Chua Jui Meng.

"Kedua-dua pihak sedang mencari siapakah yang akan menjadi regu masing-masing sekiranya mereka berjaya mempertahankan jawatan pengerusi bahagian," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.

Jawapan kepada soalan ini akan menjadi lebih jelas apabila keputusan pemilihan bahagian diumumkan hari ini. BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...