Sunday, July 13, 2008

Jawi Akan Siasat Kes Liwat Anwar Jika Siasatan Bukitkan Ada Kes, Kata Ahmad Zahid

13 Julai, 2008 17:52 PM

KOTA KINABALU, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hanya akan menjalankan siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut peruntukan qazaf sekiranya siasatan polis dan laporan Jabatan Kimia membuktikan ada kes, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Datuk Ibrahim Lembut dan penasihat undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengenai hukum dan peruntukan qazaf dalam enakmen undang-undang syariah.

Beliau berkata dalam kes yang mungkin tidak mempunyai saksi, beliau diberitahu bermubahalah atau pengakuan bersumpah merupakan langkah terbaik bagi membuktikan pihak yang benar atau salah.

"Siapa yang menuduh dan juga yang dituduh hendaklah bersumpah jika tidak ada empat orang saksi, kedua-dua pihak perlu bersumpah laknat bagi membuktikan siapa benar atau salah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana dan Pengurusan Islam Kepada Pemimpin Wanita di sini, Ahad.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang dibuat oleh Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat kepada Jawi pada 9 Julai lalu yang menuntut supaya tindakan undang-undang syariah diambil di bawah peruntukan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa Anwar meliwatnya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...