Saturday, July 12, 2008

Umno Bahagian Muar Lulus Usul Mansuhkan Kuota Pencalonan Jawatan Tertinggi

12 Julai, 2008 21:40 PM

MUAR, 12 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Agung Khas Umno bahagian Muar di sini hari ini sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Tertinggi Umno memansuhkan kuota pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi (MT).

Bahagian itu mencadangkan agar setiap calon hanya perlu mendapat 10 pencalonan daripada bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi.

Seramai 308 perwakilan dari 131 cawangan Umno bahagian yang menghadiri persidangan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Meriam di sini mengangkat tangan tanda setuju sebaik sahaja Timbalan Pengerusi Tetap, Muntaha Kailan memanggil perwakilan untuk membuat keputusan mengenai usul itu.

Perwakilan Umno bahagian berkenaan juga meluluskan usul agar pencalonan bagi jawatan ketua Umno bahagian turut dipinda dengan mengehadkan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Terdahulu, ketika membentangkan usul berkenaan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Zakaria Mahadi berkata pindaan itu penting untuk membolehkan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dilaksanakan secara demokratik.

Ia juga bagi membolehkan setiap anggota yang berkebolehan dan mempunyai ciri kepimpinan mendapat peluang bertanding jawatan, sekali gus menghidupkan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

Mesyuarat itu juga meluluskan usul ketuanan Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, yang dibawa oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Muar, Razali Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Muar.

Sementara itu, Ketua Umno cawangan Bandar A, Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman mahu anggota Umno Johor bersatu untuk mengembalikan demokrasi dalam parti di semua peringkat.

Jika ini dapat dilakukan, beliau berkata Umno bukan sahaja kuat, bahkan akan kekal menjadi sebuah parti yang menjadi teras kepada Barisan Nasional (BN) yang relevan kepada orang Melayu pada masa depan.

"Kita harus mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu di mana kita kalah di empat buah negeri selain gagal mengambil balik Kelantan daripada PAS.

"Kegagalan itu adalah kerana rasa kecewa orang Melayu dengan sikap sesetengah pemimpin Umno yang tidak mahu mendengar pandangan mereka menyebabkan mereka mengundi pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...