Thursday, July 17, 2008

MCA kesal Yee Kew burukkan parti

Petikan: Utusan Online

17/07/2008 7:13pm

KUALA LUMPUR 17 Julai – Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan kesal dengan sikap ahli jawatankuasa pusat parti itu, Dr. Tan Yee Kew yang memburukkan parti ketika mengumumkan keputusan untuk meninggalkan MCA.

Beliau berkata, bekas Timbalan Ketua Wanita MCA itu seharusnya berterima kasih kepada parti yang memberinya peluang untuk berkhidmat dan menjawat jawatan tinggi dalam parti dan Kabinet.

``Memang kita telah menerima surat peletakan jawatannya dalam parti hari ini dan kalau mahu keluar parti, janganlah lempar tohmahan, mengutuk dan memburukkan parti kerana itu adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pra perasmian Festival Antarabangsa Landskap Taman Malaysia (LAMAN) 2008 di sini hari ini.

Katanya, tindakan Yee Kew itu tidak menggoyahkan parti yang matang dan mempunyai mekanisme untuk mengekalkan kesetiaan ahlinya.

Justeru, katanya, senario ahli keluar serta masuk parti merupakan satu perkara biasa dan sebagai sebuah parti yang besar, MCA tidak menghalang jika ada yang mahu meninggalkan parti yang telah berusia 59 tahun itu.

Beliau berkata, MCA tidak menghadapi masalah untuk melatih ahli-ahli baru tetapi sentiasa mengingatkan ahli supaya bersatu padu dan jangan mengejar kedudukan apabila menyertai parti.

Menjawab soalan pemberita, Ka Chuan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, 15 ahli Parlimen yang ditemui telah berikrar untuk tetap taat setia kepada Barisan Nasional (BN).

Oleh itu, tegasnya, cubaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memujuk 15 ahli Parlimen MCA menyertai pakatan parti pembangkang tidak akan berjaya.

``Ahli-ahli dalam parti harus berwaspada dan jangan mendengar kata-kata manis yang dijanjikan oleh pihak di sebelah sana,’’ ujarnya.

Beliau berkata, ahli yang setia akan berpegang kepada prinsip dan tidak mengubah pedoman apabila timbul masalah dalaman. - Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...