Thursday, July 10, 2008

Nappadon Letak Jawatan Sebagai Menteri Luar Thailand

10 Julai, 2008 18:55 PM

Oleh D. Arul Rajoo

BANGKOK, 10 Julai (Bernama) -- Noppadon Pattama hari ini mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Menteri Luar Thailand, hanya lima bulan selepas beliau menjawat jawatan itu, selepas menghadapi tekanan berhubung isu penyenaraian Kuil Preah Vihear Kemboja sebagai Tapak Warisan Unesco.

"Perletakkan jawatan saya berkuatkuasa Isnin ini," kata bekas Penasihat Undang-undang yang juga bekas jurucakap mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang berumur 47 tahun itu, dan menambah bahawa beliau tidak tahan lagi dengan tekanan-tekanan yang diterimanya.

"Tiada kesalahan yang kami lakukan mengenai penyenaraian itu, kami patuhi semua peraturan, tapi tekanan yang saya terima terlampau besar," katanya, sekaligus menyaksikan Thailand bakal memperolehi Menteri Luar yang ke-empat dalam tempoh tiga tahun, dalam tempoh masa yang agak kritikal, iaitu semasa Thailand akan mengambil alih jawatan pengerusi Asean hujung bulan ini.

Bercakap kepada pemberita pada persidangan akhbar di pejabat kementerian itu Noppadon berkata perletakkan jawatan itu bertujuan memastikan keamanan dan kestabilan politik Thailand terpelihara, memandagkan ada sesetengah pihak yang mempolitikkan isu penyenaraian kuil itu.

"Tapi saya bangga apabila kami dapat membina hubungan lebih kukuh dengan negara-negara jiran Asean, dan sahabat akrab seperti Jepun dan Eropah. Thailand juga menerajui usaha memberikan bantuan kepada mangsa Taufan Nargis di Myanmar," kata Noppadon, yang pada mulanya dijadualkan melawat Malaysia bulan depan dan kemudiannya menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean di Singapura.

Parti Demokrat sudah menfail usul tidak percaya terhadap Noppadon berhubung kontroversi kuil itu.

Sebaik sahaja menjawat jawatan sebagai Menteri Luar kira-kira lima bulan lepas, Noppadon terus mencetuskan kontroversi apabila beliau mengembalikan pasport diplomatik kepada Thaksin, yang dibatalkan oleh kerajaan tentera sebelum ini.

Beliau mula menerima kecaman hebat daripada ahli politik dan pertubuhan anti kerajaan People's Alliance for Democracy, selepas beliau menandatangani pernyataan dengan Kemboja, bersetuju dengan permohonan negara itu kepada Unesco supaya kuil berusia 10 abad itu diisytiharkan sebagai tapak Warisan Sejarah Dunia.

Pada tahun 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengumumkan bahawa kuil itu milik Kemboja, namun ia hanya boleh dikunjungi menerusi akses dari Thailand ekoran kedudukannya di kawasan yang bergunung-ganang.

Namun selepas mahkamah Thailand minggu lepas menetapkan bahawa tindakan menandatangani pernyataan itu sebagai tidak mematuhi perlembagaan, Nappadon terus berlepas ke Kanada dan cuba membantah penyenaraian itu, namun keputusan Unesco tetap berpihak kepada permohonan Kemboja.

Ia adalah tamparan hebat kedua dalam tempoh dua hari bagi kabinet Perdana Menteri Samak Sundaravej, yang nampak goyah ekoran spekulasi bahawa parlimen mungkin akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya ketiga dalam tempoh tiga tahun.

Mahkamah perlembagaan Rabu lepas membatalkan perlantikan Chaiya Sasomsap sebagai Menteri Kesihatan Awam eoran kegagalanya mengisytiharkan aset isterinya dalam tempoh masa yang ditetapkan selepas menjadi menteri.

Bulan lepas seorang lagi penyokong Thaksin, Jakrapob Penkair yang merupakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, meletak jawatan apabila dituduh mengkhianati raja.

Tidak sampai tujuh bulan selepas pilihan raya umum anjuran tentera yang menumbangkan kerajaan Thaksin berlangsung, politik Thailand kembali bergolak dengen kemungkinan parti pemerintah People Power Party (PPP) berhadapan dengan kemungkinan dibubarkan ekoran pembatalan kemenangan timbalan pemimpin parti itu yang juga bekas Speaker Dewan Perwakilan Yongyuth Tiyapairat.

Selasa lepas, mahkamah mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, membatalkan kemenangan Yongyuth pada pilihan raya ekoran dakwaan penipuan yang dilakukan pada bulan Disember tahun lepas, yang menyaksikan kemenangan PPP, parti yang merupakan lanjutan penguasaan Thai Rak Thai (TRT) dalam pentadbiran Thailand. TRT dibubarkan oleh Mahkamah pada 2007 atas tuduhan penipuan pilihan raya.

Berdasarkan undang-undang Thailand, sesebuah parti boleh dibubarkan sekiranya pemimpinnya didapati melakukan penipuan pilihan raya.

Thaksin yang menubuhkan TRT, diharamkan daripada membabitkan diri dalam politik selama lima tahun, bersama-sama dengan 110 anggota eksekutif parti itu. Beliau sedang menghadapi dakwaan di mahkamah terhadap beberapa tuduhan salah guna kuasa dan rasuah, yang bangkitkan oleh kerajaan tentera sebelum ini.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...