Thursday, July 10, 2008

RTM Berhak Tentukan Tetamu Untuk Siarannya, Kata Shabery

10 Julai, 2008 14:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhak menentukan siapakah tetamu yang perlu dijemput untuk program siaran langsung atau rakaman yang disiarkan stesen itu, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata RTM mengamalkan dasar keterbukaan dalam memberikan liputan kepada semua menteri besar dan ketua menteri berdasarkan nilai berita sama ada untuk disiarkan melalui berita atau program bercorak bicarawara.

"Saya sendiri sebagai Menteri Penerangan pun tidak pernah dipanggil untuk temuramah secara langsung sehingga sekarang. Ertinya saya serah kepada RTM apakah yang difikirkan sesuai," katanya menjawab soalan Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Kassim meminta Ahmad Shabery menjelaskan adakah RTM akan memberi peluang kepada menteri besar dan ketua menteri dari negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat untuk diwawancara bagi menjelaskan dasar kepimpinan negeri masing-masing kepada rakyat.

Ahmad Shabery berkata beliau percaya atas prinsip yang sama, RTM bersedia mengundang pihak yang difikirkan sesuai untuk sesuatu rancangan termasuk daripada kalangan pemimpin parti pembangkang.

"Soal bila untuk diundang tidak timbul. Itu saya serahkan kepada RTM. Baru-baru ini dalam isu berkaitan (kenaikan haraga) minyak misalnya...Yang Berhormat dari Kubang Kerian (Salahuddin Ayub dari PAS) turut dijemput berdebat dengan menteri berkenaan.

"Bukan sahaja beliau dijemput, wartawan yang dijemput untuk bertanya pun dari Harakah (akhbar milik PAS). Tapi sejam sebelum itu (wartawan) Harakah tak datang, wakil pun tidak hantar. Jadi yang tak profesionalnya Harakah, bukan RTM," katanya.

Ketika ditanya sama ada RTM akan menyiarkan secara langsung debat kenaikan harga bahan api antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau pada 15 Julai ini, Ahmad Shabery berkata ia dianjurkan portal berita Agenda Daily, bukannya RTM.

Menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN- Jempol) mengenai sejauh mana kuasa Menteri Penerangan terhadap syarikat televisyen swasta yang dilihat kurang memberi liputan terhadap menteri besar dan ketua menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam berita jam 8 malam, beliau berkata stesen radio dan televisyen swasta bukan di bawah kawalan Kementerian Penerangan.

Bagaimanapun, katanya stesen radio dan televisyen swasta perlu menggunakan kebijaksanaan mereka menerusi garis panduan yang ditetapkan dalam menentukan bentuk program yang disiarkan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...