Thursday, July 10, 2008

Balasubramaniam Dakwa Keselamatan Dirinya Dan Keluarga Terancam

10 Julai, 2008 16:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Penyiasat persendirian P.Balasubramaniam melarikan diri bersama keluarganya ke luar negara kerana bimbang keselamatan mereka terancam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Tanpa mendedahkan lokasi negara itu, Syed Hamid berkata Balasubramaniam mendakwa keselamatan diri dan keluarganya terancam selepas terbabit dalam kontroversi Akuan Bersumpah kes pembunuhan rakyat Mongolia Altantuya Shaaribu.

"Kenyataan ini dibuat ketika pihak polis mengambil kenyataannya di luar negara. Dia bagi tahu kita, dia ke luar negara kerana terlampau banyak publisiti dibuat tentang dirinya...dia takut keselamatannya dan keluarga terancam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan simposium mengenai Sains Forensik dan Undang-undang jenayah di sini hari ini.

Sambil menolak andaian bahawa Subramaniam berada dalam tahanan polis, Syed Hamid berkata kenyataan yang diambil daripadanya ialah sebagai saksi berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya.

"Dia bebas ke mana sahaja kerana dia bukan di bawah tahanan polis cuma kenyataan dia sahaja yang kita ambil," katanya.

Selasa lepas, Balasubramaniam membuat akuan bersumpah itu tetapi beliau menarik balik tuduhan itu dalam akuan bersumpah baru Jumaat lepas.

Ditanya mengenai siasatan kes bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu, Syed Hamid berkata pihak polis akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Kita dalam proses untuk menyiapkan kertas siasatan. Kita serahkan kepada Peguam Negara untuk memutuskan tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...