Thursday, July 10, 2008

Kota Bharu bakal terbelah dua?

Petikan: Malaysia Kini

Umno bahagian Kota Bharu bakal menyaksikan persaingan sengit dua gergasi proksi - Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Mohd Fatmi Che Salleh - yang boleh mencerminkan pertarungan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang digantung jawatan ketua bahagian akibat tuduhan politik wang, diura-urakan akan bertembung dengan setiausaha politik Datuk Seri Najib Razak.

Zaid, bekas ahli parlimen Kota Bharu, dicabar Mohd Fatmi yang kini memangku tugas ketua bahagian.

zaid ibrahimPeguam terkenal itu dilantik menyertai kabinet atas kapasitinya sebagai seorang senator dan menjalankan tugas mereformasi kehakiman seperti hasrat perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

fatmi che sallehMohd Fatmi, yang berkhidmat dengan Najib sejak empat tahun lepas, kalah di kerusi parlimen itu dalam pilihanraya umum lalu. Bekas ketua Pemuda Umno Kelantan itu memegang jawatan timbalan ketua bahagian sejak 1995.

Dalam persaingan sengit ini, kedua-dua kumpulan sudah menyiapkan barisan pemimpin masing-masing dan ejen-ejen mereka kini sedang sibuk berkempen.

Seorang ahli jawatankuasa bahagian Che Mansor Adabi Che Hassan mendedahkan, kedua-dua pihak telah menyenaraikan orang-orang mereka untuk pemilihan kelak.

Kumpulan Zaid disertai Hasnan Husin yang akan bertanding jawatan timbalan ketua bahagian dan Kamarulzaman Husin (naib ketua), manakala kumpulan Mohd Fatmi dianggotai Wan Abdul Ghani Wan Yusof (timbalan) dan Datuk Sharin Zahari (naib).

"Apabila dua tokoh besar bertarung, masing-masing akan berhabis-habisan bagi menjaga maruah apatah lagi kedua-duanya mempunyai nama dan kedudukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jawatan ketua wanita yang kini disandang oleh Nik Azizah Nik Yahya akan dicabar calon muka baru Wan Norjan Wan Ibrahim.

Manakala bagi ketua Pemuda, penyandangnya Rosmadi Ismail bakal dicabar oleh Mohd Iznain Mohamad yang merupakan cucu saudara ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Jawatan ketua Puteri Umno kosong apabila penyandangnya Khazuni Othman terpaksa melepaskan jawatan tersebut kerana faktor usia.

Dua nama disebut-sebut berminat untuk mengisi kekosongan iaitu naib ketua puteri sekarang iaitu Norhaslinda Mat Hussein dan Maznah Yaakub.

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa bahagian Kota Bharu berkata, bukan rahsia lagi Zaid mahukan semula jawatan ketua bahagian yang terpaksa dilepaskannya sejak lebih tiga tahun lalu.

Beliau, yang enggan dikenali, menambah orang-orang kuat menteri itu sudah tidak sabar lagi untuk melihat Zaid menerajui semula bahagian tersebut.

Umno bahagian Kota Baru mempunyai 117 cawangan dengan keahlian lebih 18,000 dan dijangka akan mengadakan mesyuarat pemilihan peringkat cawangan pada bulan depan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...