Saturday, August 2, 2008

Anak Tempatan Permatang Pauh Sesuai Jadi Calon - BERNAMA

02 Ogos, 2008 00:24 AM

BUKIT MERTAJAM, 1 Ogos (Bernama) -- "Kami mahu anak Permatang Pauh menjadi calon," kata Ketua Umno Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mengenai orang yang bakal dipilih oleh Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak lama lagi.

Beliau berkata pemilihan yang paling tepat perlu dibuat oleh pucuk pimpinan parti mengenai calon yang bakal bertanding di kawasan itu nanti.

Katanya yang penting ialah calon itu perlu dari kalangan orang yang boleh berkerja dan berkhidmat kepada masyarakat, dan mengambil berat mengenai kesusahan mereka.

Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding di situ dalam pilihan raya kecil, yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu depan.

"Anwar sudah bertapak di Permatang Pauh sejak 1982 dan agak susah untuk memperkenalkan calon baru yang bukan anak tempatan dalam masa yang singkat kerana masyarakat di sini begitu mementingkan faktor orang yang mereka kenal atau tahu," kata Abdul Jalil kepada pemberita di sini.

Beliau berkata calon BN itu mestilah orang yang boleh berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat kesusahan mereka.

Mengenai persiapan, Abdul Jalil berkata bahawa sebaik saja selesai pilihan raya umum 8 Mac lepas, Umno Bahagian Permatang Pauh sebenar sudahpun mengerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di situ kerana menjangkakan Wan Azizah memang akan mengosongkan kerusi itu untuk Anwar.

"Kita tidak terkejut dengan pengumuman Dr Wan Azizah itu kerana semasa berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai perkara ini. Jadi, persiapan kita memang telah bermula awal lagi," katanya.

Abdul Jalil berkata Umno bahagian itu telah mengadakan majlis penerangan di semua 92 cawangannya sejak dua minggu selepas pilihan raya umum selesai bagi menghadapi kemungkinan ini.

"Kursus pilihan raya juga telah diadakan untuk pergerakan Puteri dan Wanita sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian. Insyaallah, persediaan kita sudah teratur," katanya.

Beliau berkata dengan bantuan dan kerjasama parti komponen Barisan Nasional yang lain, "pertembungan" yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Permatang Pauh nanti dapat ditempuhi dengan lancar.

Abdul Jalil berkata bahawa sejak kawasan itu diwakili Wan Azizah, penduduk Permatang Pauh "letih" menghadapi karenah pemimpin parti itu yang hanya memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan menyekat kemajuan dan pembangunan di kawasan berkenaan.

"Cukuplah kesusahan yang telah kita lalui. Hanya kerana hendak memperjuangkan Anwar seorang, orang lain terpaksa mendapat susah. Buktinya, penat lelah menghadapi pilihan raya umum belumpun reda, kita terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya. Semua orang akan mendapat susah kerana dia. Ini bukan perjuangan untuk rakyat tetapi perjuangan peribadi," katanya.

Walaupun mengakui pertandingan kali ini memang sukar, Abdul Jalil berkata Umno yakin dapat memenangi hati rakyat menerusi usaha dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu untuk membela nasib rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...