Saturday, August 2, 2008

Mesyuarat Dewan Tertinggi, Jawatan Kuasa Pengurusan BN Rabu Depan - BERNAMA

02 Ogos, 2008 16:39 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Rabu depan, yang antara lain akan membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh nanti.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BN pula akan diadakan pada sebelah pagi hari yang sama.

"Mesyuarat Tertinggi (MT) UMNO pula akan menyusul pada 14 Ogos nanti bagi membincangkan perkara yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan Bunga Raya di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata ketiga-tiga mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai calon BN yang layak untuk bertanding menentang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim namun keputusan terakhir akan diserahkan kepada Abdullah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai nama-nama yang mungkin dicalonkan serta kriteria bagi calon yang layak.

"Ini semua rahsia. Kita mempunyai strategi sendiri. Tetapi sudah pasti kita akan berlawan dan memberikan tentangan yang hebat," katanya.

Dua hari lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan untuk bermesyuarat Rabu depan bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...