Saturday, August 2, 2008

Muhyiddin Akan Umum Sama Ada Pertahan Jawatan Dalam Jangka Masa Terdekat

01 Ogos, 2008 21:11 PM

MUAR, 1 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan dalam masa terdekat sama ada mempertahankan jawatan atau bertanding jawatan lebih tinggi pada pemilihan parti Disember ini.

"Tunggulah, saya akan mengumumkan keputusan ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO cawangan Permatang Pasir, Bukit Pasir di sini, Jumaat.

Beberapa cawangan UMNO di seluruh negara yang mula bermesyuarat sejak dua minggu lepas telah mengusulkan agar beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden manakala cawangan Kampung Desa Jaya, Umno Bahagian Johor Baharu meluluskan usul yang mahukan Muhyiddin bertanding merebut jawatan Presiden Umno.

Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkata beliau sedang mendapatkan maklum balas daripada bahagian-bahagian UMNO sebelum membuat keputusan muktamad jawatan yang beliau bakal tandingi.

Terdahulu semasa berucap, beliau berkata anggota parti atau perwakilan seharusnya menjadikan pemimpin yang boleh memberi sumbangan kepada kerajaan dan parti sebagai kriteria utama pemilihan pemimpin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, turut meminta semua anggota parti memberi tumpuan kepada usaha memulihkan parti.

Katanya usaha mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang disegani dan dihormati serta membantu memulihkan kekuatan parti-parti komponen Barisan (BN) amat penting.

"Saya bimbang jika ini tidak dilakukan, kita bukan sahaja tewas pada pilihan raya umum ke-13, malahan orang Melayu akan kehilangan kuasa politik buat selama-lamanya," tegas beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...